Pak Idris sudah uzur, cukup sekadar ikat jaring

9 Sep 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pak Idris sudah uzur, cukup sekadar ikat jaring

MELAKA – Seorang nelayan berusia 81 tahun di Kampung Hailam di sini tetap berusaha mencari rezeki dengan kudrat yang terhad mengambil upah mengikat jaring pada kadar RM30 sehari.

Bagi Idris Jauh, selagi tangannya masih mampu bekerja, dia enggan hanya duduk diam dan mengharapkan bantuan anak-anak untuk menampung kehidupannya.

Menurutnya, kerja mengikat sekeping jaring sepanjang kira-kira 100 meter mengambil masa sehari untuk disiapkan.

“Sekarang saya sudah tidak sihat kerana ada penyakit jantung dan tidak mampu turun ke laut seperti dahulu.

“Jadi, banyak masa saya ambil upah ikat jaring dan sekeping dapat RM30 dan biasanya mengambil masa sehari untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di jeti pangkalan nelayan Kampung Hailam, Pantai Puteri di sini.

Idris berkata, kehidupan sebagai nelayan sudah sebati dalam dirinya selepas mula turun ke laut sejak berusia 13 tahun.

Malah, pekerjaan itu diwarisi secara turun-temurun kerana bapa dan datuknya juga merupakan nelayan serta anak jati Kampung Hailam.

Katanya, ketika muda, dia turun ke laut seorang diri menggunakan perahu dan dayung, malah pernah berkayuh sehingga ke Pulau Upeh.

Dia kemudiannya mula menggunakan enjin bot terpakai yang dibeli ketika berusia 16 tahun bagi memudahkan urusan menangkap ikan.

Kata bapa kepada lapan anak itu, dua anaknya telah meninggal dunia, manakala hanya seorang anak lelakinya yang berusia 58 tahun masih meneruskan pekerjaan sebagai nelayan.

Idris yang mempunyai 13 cucu kini tinggal bersama anak perempuannya selepas isterinya me­ninggal dunia empat tahun lalu.

Walaupun keperluan hidup­nya ditanggung anak-anak, Idris berkata, dia sesekali tetap mengikuti anaknya turun ke laut untuk membantu memunggah ikan yang ringan.

“Jiwa saya memang jiwa nelayan, macam mana sekalipun, mesti rasa hendak ke laut dan kalau tidak dapat turun, sekurang-kurangnya dapat tengok laut pun jadilah,” ujarnya.

The post Pak Idris sudah uzur, cukup sekadar ikat jaring appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved