Pak Lah Meninggal Dunia

LocalPolitics
14 Apr 2025 • 7:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri kelima, Tun Dr Abdullah Ahmad Badawi telah menghembuskan nafas terakhir malam tadi. 

Abdullah atau lebih mesra dipanggil Pak Lah dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam. 

Pemergian beliau disahkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin yang juga mantan Menteri Kesihatan.

Allahyarham yang berusia 85 tahun meninggalkan seorang isteri, Tun Jeanne Abdullah. 

Terkenal dengan teras Islam Hadhari dan Pembangunan Modal Insan, Pak Lah dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang. 

Allahyarham menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam Pulau Pinang sebelum melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, Sekolah Menengah Daeratul Maarifil Al-Wataniah dan Sekolah Lelaki Methodist Pulau Pinang.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham pernah dipecat daripada tugasnya sebagai Menteri Pertahanan, susulan konflik dalaman UMNO pada 1987.

Kedudukannya sebagai menteri bagaimanapun dikembalikan pada 1991 selepas dilantik sebagai Menteri Luar, sebelum diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1999.

Berkelulusan Sarjana Muda Sastera Pengajian Islam dari Universiti Malaya, Allahyarham menyandang portfolio Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, sebelum berundur dan memberi laluan kepada Datuk Seri Najib Razak. 

Selain Islam Hadhari dan Modal Insan, Pak Lah turut mewujudkan tiga teras lain menerusi jentera pentadbiran diterajuinya iaitu Misi Nasional, Pelan Integriti Nasional dan Pembangunan Koridor Ekonomi. - Getaran, 14 April 2025