TANJUNG MALIM - “Tak apa kami tak beli baju baharu, asalkan anak gembira...”
Itu luahan seorang ibu, Suridah Bahari, 43, apabila anaknya menerima baucar pakaian raya bernilai RM150 daripada kerajaan negeri bagi meringankan beban keluarga menjelang Syawal.
Suri rumah dari Pos Gedung itu berkata, tahun ini merupakan tahun kedua anak perempuannya berusia tujuh tahun tersenarai sebagai penerima bantuan tersebut.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya anak dapat juga pakai baju raya baharu. Kali ini anak saya memilih untuk membeli jubah, kasut dan seluar menggunakan baucar yang diterima.
"Kalau tak ada bantuan ini, kami pakai sahaja apa yang ada," katanya ketika ditemui pada program Meriah Beraya Sejahtera Bersama 2026 di hadapan Pasar Raya TenTen Bidor yang disampaikan Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan.
Menurut Suridah, dia dan suami yang bekerja di kebun perlu berjimat cermat dalam menguruskan perbelanjaan, apatah lagi mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah.
"Saya dan suami sendiri sudah lama tidak membeli pakaian baharu.Tak mengapa, sebab raya-raya ini paling penting anak-anak gembira,” ujarnya.
Beliau menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai usaha murni yang wajar diteruskan bagi membantu lebih ramai keluarga kurang berkemampuan.
Sementara itu, Sivanesan berkata, program penyerahan bantuan pakaian raya itu merupakan inisiatif tahunan yang dilaksanakan di semua 59 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini dengan peruntukan sama, RM22,500.
“Pemilihan penerima dibuat oleh pihak sekolah masing-masing bagi memastikan tiada golongan kurang berkemampuan yang tercicir," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai berkata, bagi kawasan tersebut, seramai 150 pelajar dari sembilan sekolah menerima sumbangan melalui baucar bernilai RM150 setiap seorang.
Tambahnya, ibu bapa yang tidak tersenarai tetapi memerlukan bantuan boleh tampil ke pejabatnya dengan mengemukakan dokumen berkaitan untuk dipertimbangkan.
“Jadi mereka boleh datang terus ke pejabat saya dengan membawa slip gaji untuk kita nilai keperluan.
“Bukan sahaja bantuan pakaian raya, tetapi kita juga lihat jika mereka memerlukan bantuan lain termasuk pendidikan anak-anak,” katanya.


