Kebersihan bazar Ramadan Perak memuaskan, tiada kes keracunan direkodkan

LocalFood
14 Mar 2026 • 10:27 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sivanesan (kanan) menyempurnakan penyerahan baju raya kepada 150 pelajar terpilih di hadapan Pasar Raya TenTen Bidor pada Jumaat.

TANJUNG MALIM - Pemantauan di bazar Ramadan seluruh Perak setakat ini tidak merekodkan sebarang kes keracunan makanan, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan.

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan tahap kebersihan dan pengendalian makanan oleh peniaga bazar Ramadan di negeri ini berada pada tahap memuaskan.

Menurutnya, berbanding tahun-tahun sebelumnya yang pernah menyaksikan kes keracunan makanan termasuk melibatkan kematian, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan kejadian sedemikian.

“Saya berpuas hati tahun ini kerana kita tidak dengar cerita seperti dahulu yang melibatkan kes keracunan makanan. Tahun ini tidak ada dan tahun lepas pun tidak ada kes serius.

"Satu penghargaan kepada semua pengusaha makanan di bazar Ramadan yang memberi kerjasama dalam memastikan makanan yang dijual bersih dan selamat dimakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program penyerahan baju raya di hadapan Pasar Raya TenTen Bidor pada Jumaat.

Dalam program itu, seramai 150 pelajar dari sembilan sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai menerima sumbangan pakaian raya melibatkan peruntukan berjumlah RM22,500.

Sivanesan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai berkata, Jabatan Kesihatan negeri tidak berkompromi dan telah menjalankan pemantauan berterusan terhadap pengusaha makanan di bazar Ramadan bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa dipatuhi.

Katanya, antara kesalahan kecil yang masih dikesan ialah kegagalan memakai apron atau kasut ketika mengendalikan makanan, namun peniaga biasanya diberi nasihat pada peringkat awal.

“Jika kesalahan dilakukan kali pertama kita akan beri nasihat, tetapi jika berulang kali kita tidak akan bertolak ansur kerana isu keracunan makanan adalah perkara serius,” katanya.

Beliau berkata, pada masa akan datang pihaknya juga bercadang memperluaskan pemantauan bukan sahaja dari aspek kebersihan, malah turut memberi perhatian kepada kandungan nutrisi makanan yang dijual.

"Kita mahu lihat juga kandungan gula, lemak dan sebagainya supaya makanan yang dijual bukan sahaja bersih tetapi juga lebih sihat," katanya.