
SUASANA Aidilfitri sering dikaitkan dengan kemeriahan rumah dipenuhi sanak saudara, gelak tawa bersilih ganti dan memori indah yang terpahat sejak kecil.
Namun, seiring masa berlalu, tidak semua orang masih merasai detik yang sama.
Bagi personaliti media sosial dan usahawan muda, Cik B, Syawal kini hadir dalam versi yang lebih sederhana, tenang, perlahan dan jauh berbeza daripada apa yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu.
“Setiap kali raya, rumah saya memang kosong dan sunyi.
"Jadi, saya ambil peluang untuk tidur dan berehat sahaja,” kongsinya jujur ketika ditemu bual SinarPlus.
Anak kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Vida itu tidak menafikan perubahan suasana raya yang dirasai semakin ketara saban tahun. Jika dahulu rumah dipenuhi ahli keluarga, kini jumlah yang pulang beraya semakin berkurangan, meninggalkan rasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Dulu keluarga ramai, sekarang semakin kurang yang pulang beraya. Saya sendiri sukar gambarkan perasaan itu,” luahnya lagi, menyentuh sisi emosi yang mungkin turut dirasai ramai.
Biarpun begitu, rutin Syawal buat pemilik nama sebenar, Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, tetap berjalan seperti biasa, ringkas dan tidak terlalu terikat dengan tradisi yang berat.
Malah, pelantun lagu Doakan itu mengakui hanya mengenakan baju raya untuk tempoh singkat sebelum kembali kepada gaya santainya.
“Baju raya saya cuma sepasang sahaja. Pakai sekejap dalam dua jam untuk ambil gambar, kemudian tukar semula kepada hoodie,” katanya berseloroh.
“Biasanya saya bangun lewat, tidur semula dan hanya bersiap sekitar pukul empat petang untuk sesi bergambar," dedah gadis berusia 21 tahun itu lagi.

Ramadan lebih bermakna
Di sebalik gaya santai itu, terselit satu hakikat, keutamaan kini bukan lagi pada kemeriahan luaran, sebaliknya pada keselesaan diri dan masa bersama keluarga terdekat.
Sepanjang hari raya, Cik B lebih banyak menghabiskan masa bersama ibu, adik serta pembantu rumah, sambil menerima kunjungan saudara-mara yang datang berziarah.
Menariknya, Cik B juga secara terbuka mengakui dirinya lebih menggemari suasana Ramadan berbanding Syawal. Baginya, bulan penuh keberkatan itu memberi ketenangan yang sukar ditandingi.
“Saya hanya sarung baju kurung untuk gambar. Lepas itu tukar semula dan sambung main permainan video. Bagi saya, Ramadan lebih bermakna.
"Suasananya lebih tenang dan penuh keberkatan berbanding hari raya,” ujarnya.

Perkongsian jujur ini secara tidak langsung menggambarkan realiti yang semakin biasa dalam kalangan generasi hari ini apabila sambutan raya tidak lagi diukur pada kemeriahan semata-mata, tetapi lebih kepada bagaimana seseorang itu menghargai momen kecil dalam cara tersendiri.
Mungkin benar, Aidilfitri tidak lagi sama seperti dulu. Namun dalam perubahan itu, tetap ada ruang untuk mencipta makna baharu walau dalam suasana yang lebih sunyi, tetapi masih penuh dengan rasa.




