
Majlis Paralimpik Malaysia (PCM) semalam dengan bangganya telah memperkenalkan pakaian rasmi kontinjen negara ke temasya Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis.
Menggunakan platfrom media sosial sebagai pengantaraan, PCM tampil bergaya dengan rekaan pakaian yang memikat. Menampilkan rona putih sebagai warna utama, ia turut disempurnakan dengan belang berona biru, merah, kuning dan kelabu.
Kombinasi warna yang digunakan ini adalah cerminan warna Jalur Gemilang dan ia boleh dianggap sebagai langkah bijak kerana ia menonjol dan mudah dilihat pada acara perbarisan kontinjen nanti.

“Penantian telah berakhir. Baru keluar dari ‘ketuhar’, kami teruja untuk memperkenalkan pakaian rasmi kontinjen Malaysia untuk Sukan Paralimpik Paris 2024.
“Bersedia untuk menonjol dan pamerkan sokongan anda dengan bergaya!,” ciap PCM di platform X yang turut menyertakan klip video pendek mempamerkan pakaian rasmi berkenaan.
!
— Paralympic Council Malaysia (@NPCMalaysia) July 9, 2024
Fresh from the oven, we're excited to unveil our Official Leisure Outfit for the Paris 2024 Paralympic Games.
Get ready to stand out and show your support in style! pic.twitter.com/gl8sYvcPYT
Sehingga kini, perkongsian PCM ini telah diulang ciap lebih 3000 kali dan jumlah tontonan juga mencecah lebih 300 ribu.
Mengintai akaun Facebook PCM, warganet turut meninggalkan komen-komen positif pada foto-foto pakaian yang digayakan oleh atlet paralimpik kebangsaan, Muhammad Imaan Aiman dan Abdul Razzaq Abdul Rahman.

Maklum balas yang diterima oleh PCM jauh berbeza dengan apa yang berlaku kepada Majlis Olimpik Malaysia ketika mereka memperkenalkan pakaian rasmi kontinjen Olimpik.
Selain memuji, ada juga yang berminat untuk membelinya sebagai koleksi, sekaligus mencadangkan kepada PCM untuk membuka jualan.
“Cantik. Ini baru luar biasa. Menggunakan warna jalur gemilang dengan sangat baik. Belang harimau tetap ada. Terbaik! Moga yang terbaik untuk pasukan paralimpik,” tulis Zarns Dir.
“Pasukan Paralimpik Malaysia sememangnya membanggakan Malaysia setiap kali bertanding,” tulis Marcus Zeng pula.
Seorang lagi pengguna Facebook, Daten Gweng memberitahu dia juga sangat sukakan rekaan pakaian yang ditampilkan.
“I love this so much. Apabila pemakaian hebat, secara semulajadi diri akan rasa yakin. Ketrampilan hebat membuat keyakinan diri meningkat. Penting ya pemakaian yang sesuai,” tulisnya.
“Cantik. Open jualan baju, seluar, bucket, jaket dan beg. Hasil jualan boleh masuk ke tabung Persatuan Pralimpik Malaysia/Persatuan OKU,” cadang Mohd Khairul Azmi pula.
Sukan Paralimpik 2024 bakal berlangsung dari 28 Ogos sehingga 8 September ini. Untuk penyertaan kali ini, PCM menyasarkan empat pingat emas untuk dibawa pulang. – Getaran, 10 Julai, 2024
Foto : Majlis Paralimpik Malaysia
