
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap pasangan suami isteri pastinya mahu rumah tangga yang dibina kekal bahagia sehingga ke akhir hayat.
Namun, siapalah kita sebagai manusia hendak menidakkan takdir Maha Esa. Ada pasangan yang terpaksa berpisah atas sebab tertentu.
Kebiasaannya, kebanyakan suami isteri memilih perceraian sebagai jalan terakhir disebabkan faktor kewangan atau sikap curang oleh pasangan itu sendiri.
Trend Berpisah Di Usia Tua Semakin Meningkat
Siapa sangka, ketagihan media sosial juga menjadi punca perceraian suami isteri khususnya buat pasangan yang telah menginjak masuk ke usia emas.
Menurut Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh, terdapat banyak kes perceraian yang melibatkan pasangan berusia 50 tahun ke atas akibat ketagihan media sosial termasuklah penggunaan aplikasi Facebook dan TikTok khususnya dalam kalangan suami.
Jelas Hushim, trend perceraian di usia tua menunjukkan peningkatan. Berdasarkan rekod kes yang dikendalikan olehnya, purata tiga perceraian direkodkan sejak Januari lalu berbanding satu atau dua kes sebulan pada tahun sebelumnya.
“Ketagihan terhadap media sosial kini menjadi penyumbang utama kepada perceraian selepas lebih 20, 30, atau 40 tahun berkahwin.
“Ramai isteri mengadu bahawa suami mereka terlalu asyik dengan TikTok, sering tersenyum dan ketawa sendirian serta mengabaikan komunikasi dengan mereka.
“Situasi ini menyebabkan isteri berasa kesunyian, lebih- lebih lagi apabila pada usia ini, pasangan suami isteri biasanya hanya tinggal berdua di rumah.
“Anak-anak pula sudah tamat belajar, bekerja, dan berkahwin, lalu menetap secara berasingan,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Ketagihan Media Sosial Sebabkan Komunikasi & Sentuhan Fizikal Suami Isteri Berkurang
Tambah Hushim, ketagihan itu juga menyebabkan komunikasi serta sentuhan fizikal antara suami isteri semakin berkurang. Keadaan ini yang mendorong isteri mengambil keputusan untuk bercerai.
Lebih mengejutkan, hampir separuh daripada kes yang dikendalikan olehnya berakhir dengan perceraian apatah lagi si suami langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas sesi kaunseling.
Malah, ramai juga kaum Hawa sudah tawar hati selepas bertahun menanggung perasaan yang terabai.
“Mereka yang nekad bercerai sering mengatakan keputusan itu dibuat kerana mereka sudah lama tidak bahagia.
“Selama ini, mereka bertahan demi anak-anak yang masih kecil, tetapi kini, apabila anak-anak sudah dewasa, mereka memilih untuk mengakhiri perkahwinan yang tidak membahagiakan.
“Masalah rumah tangga yang tidak diselesaikan dan diperbaiki juga menjadi punca utama berlakunya perpisahan,” katanya lagi.
Ada Isteri Sanggup Tinggal Bersama Anak-Anak, Rasa Lebih Dihargai
Jelasnya lagi, ada isteri yang sanggup membuat keputusan keluar daripada rumah dan tinggal bersama anak-anak kerana berasa lebih dihargai.
“Saya sedang menangani dua kes isteri yang keluar rumah dan enggan pulang. Mereka lebih selesa tinggal di rumah anak dan meluangkan masa dengan cucu kerana merasakan tiada makna untuk kembali ke rumah sendiri jika suami hanya sibuk dengan telefon.
“Ada juga isteri yang sudah bersara merancang untuk tinggal di rumah jagaan warga emas yang moden dan berbayar.
“Mereka berpendapat bahawa tinggal di rumah jagaan lebih menyeronokkan kerana dapat berinteraksi dengan rakan sebaya, berbanding hidup dalam kesunyian di rumah sendiri,” ujarnya.
Para Suami Perlu Bijak Kawal Penggunaan Media Sosial
Pada masa yang sama, Hushim turut mengingatkan kepada para suami khususnya agar bijak mengawal diri dalam menggunakan media sosial dan gajet bagi mengelakkan kemudaratan terutamanya kepada rumah tangga yang telah lama terbina.
Tambahnya, perpisahan di usia emas adalah satu perkara yang sukar dihadapi oleh mana-mana pasangan.
“Suami perlu belajar menjadi pasangan yang romantik kerana ia mampu mengeratkan kembali hubungan suami isteri.
“Mereka juga perlu menjadikan isteri sebagai sahabat, tempat bergurau senda, dan teman berbual.
“Komunikasi amat penting dan tidak boleh diabaikan, kerana ia menjadi faktor utama dalam kebanyakan kes penceraian. Selain itu, suami juga perlu mempunyai empati terhadap isteri,” tegasnya lagi.
Perbanyakkan Program Pasca Perkahwinan
Pada masa yang sama, Hushim turut mencadangkan agar kerajaan dapat memperbanyakkan program pasca perkahwinan terutamanya untuk golongan warga emas.
Ia sebagai membina semula keharmonian rumah tangga serta menyemai sifat romantic antara pasangan.
“Jika boleh, program ini dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dengan melibatkan pasangan dari pelbagai kaum agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh,” jelasnya lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Bolehkah Bersalam Selepas Bercerai? Ini Penjelasan Syeikh Faisol [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Negara Ke-3 Di Asia Tenggara Paling Ramai Orang ‘Single’
Baca Artikel Berkaitan: Isteri Diceraikan Gara-gara Buang Sebelah Payudara Akibat Kanser Tahap 4
Source:




