Pakar ekonomi: Selangor perlu buktikan pertumbuhan mampan benar-benar bantu rakyat

LocalBusiness & Finance
19 Jun 2026 • 9:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pakar ekonomi: Selangor perlu buktikan pertumbuhan mampan benar-benar bantu rakyat

SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Negeri perlu membuktikan strategi pertumbuhan mampan yang diketengahkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat melalui peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan kualiti hidup, bukannya sekadar slogan pembangunan yang sukar diukur keberkesanannya, kata pakar ekonomi.

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata kenyataan EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han bahawa Selangor mengutamakan pertumbuhan mampan berbanding keuntungan ekonomi jangka pendek mencerminkan pendekatan pembangunan yang semakin diterima pakai oleh banyak negara maju.

Menurutnya, strategi tersebut mempunyai asas ekonomi yang kukuh, khususnya jika pelaburan yang dibawa masuk mampu mewujudkan kesan limpahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menghasilkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta memperkukuh rantaian bekalan tempatan.

"Jika sesuatu negeri hanya mengejar pelaburan yang sangat intensif modal, menggunakan tenaga kerja terhad, bergantung kepada import teknologi dan bahan mentah serta memberi manfaat utama kepada syarikat besar, pertumbuhan ekonomi mungkin tinggi pada awalnya tetapi kesannya kepada rakyat biasa tidak begitu besar," katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu katanya pelaburan yang membangunkan vendor tempatan, meningkatkan kemahiran pekerja, memindahkan teknologi dan mewujudkan ekosistem industri lazimnya menghasilkan manfaat lebih berkekalan walaupun pulangan ekonomi awal mungkin lebih perlahan.

"Pendekatan ini selaras dengan penekanan Selangor terhadap industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pembuatan termaju dan ekonomi hijau," jelasnya.

Bagaimanapun, Dr Barjoyai berkata masih terdapat beberapa persoalan penting yang perlu dijawab bagi menilai keberkesanan strategi pertumbuhan mampan yang diketengahkan Kerajaan Negeri.

Antaranya, sejauh mana pendekatan tersebut benar-benar mampu meningkatkan pendapatan isi rumah dan memperbaiki taraf hidup rakyat.

“Jika rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi, mereka mungkin sukar melihat atau menghargai manfaat jangka panjang yang dijanjikan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pelaburan berkualiti tinggi yang berjaya dibawa masuk benar-benar mampu mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat.

Menurutnya, banyak projek berteknologi tinggi memerlukan tenaga kerja berkemahiran khusus yang jumlahnya masih terhad di pasaran.

“Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana kerajaan mentakrifkan dan mengukur ‘kemampanan’. Adakah ia dinilai berdasarkan peningkatan gaji median, produktiviti pekerja, pengurangan kadar kemiskinan, kualiti alam sekitar atau tahap kesejahteraan hidup rakyat?” katanya.

Jelas beliau, tanpa petunjuk prestasi yang jelas dan boleh diukur, sukar untuk menentukan sama ada pertumbuhan mampan yang dicanang benar-benar memberi impak kepada rakyat atau sekadar menjadi naratif dasar pembangunan.

"Tanpa ukuran yang jelas, istilah pertumbuhan mampan boleh menjadi slogan yang sukar dinilai keberkesanannya.

"Pada pandangan saya, pendekatan yang terbaik bukanlah memilih antara pertumbuhan pantas pertumbuhan mampan. Tetapi mengimbangi kedua-duanya," katanya.

Mengulas perbandingan dengan Johor, beliau berkata kenyataan Sze Han juga boleh dilihat sebagai respons terhadap perbahasan berkaitan prestasi ekonomi antara kedua-dua negeri.

Menurutnya, Johor ketika ini mendapat manfaat daripada pembangunan pesat berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang membantu menarik pelaburan asing dan meningkatkan aktiviti ekonomi.

Manakala Selangor pula memanfaatkan kedudukannya sebagai pusat industri matang dengan memberi tumpuan kepada nilai tambah serta pembangunan ekosistem.

Dr Barjoyai berkata secara keseluruhannya kenyataan Sze Han itu wajar dan selari dengan prinsip pembangunan ekonomi moden.

"Pertumbuhan yang berkualiti dan mampan sememangnya lebih bernilai daripada lonjakan ekonomi sementara yang tidak memberi kesan besar kepada rakyat," katanya.

Namun, beliau menegaskan Kerajaan Negeri perlu menunjukkan bukti yang boleh diukur bahawa strategi berkenaan benar-benar meningkatkan gaji rakyat, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, memperkukuh PKS tempatan serta mengekalkan daya saing Selangor.

"Akhirnya, rakyat tidak menilai dasar berdasarkan slogan 'mampan' atau 'jangka pendek', tetapi berdasarkan sama ada kehidupan mereka menjadi lebih baik dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang," katanya.

Pada 2025, Selangor mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi iaitu RM432.1 bilion, menyumbang 26.2 peratus kepada ekonomi negara dengan kadar pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak 6.3 peratus.

Prestasi ini turut dikekalkan untuk dua tahun berturut-turut dengan peningkatan sebanyak 0.3 peratus berbanding 25.9 pada tahun 2023 yang mencatatkan sumbangan KDNK sebanyak RM406.1 billion.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved