
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pejam celik tinggal lagi beberapa hari sahaja lagi kita bakal menyambut bulan Ramadan di mana kebanyakan umat Islam akan mula menunaikan ibadah berpuasa.
Malah mungkin ada segelintir daripada kita ketika ini juga sedang giat melakukan ibadah puasa sunat atau sedang mengganti puasa terdahulu sebelum tibanya Ramadan.
Tak dinafikan apabila berpuasa kebiasaannya kita akan berasa teruja untuk melakukan banyak ibadah memandangkan akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. Namun antara kemeriahan ketika berpuasa juga adalah sewaktu berbuka di mana kita dapat makan bersama keluarga atau rakan-rakan.
Akan tetapi apabila berbuka tak dinafikan ramai yang mengikut nafsu seperti makan terlalu banyak, mengambil makanan dan minuman manis terlalu banyak dek kerana sudah seharian menahan lapar. Namun ia bukanlah cara yang sihat dan diajar dalam agama sebaliknya kita perlu sentiasa bersederhana dan tak mengikut nafsu.
Pakar jantung jelaskan cara sihat untuk berbuka puasa
Baru-baru ini Pakar Kardiologi di Hospital KPJ Kajang, Dr Onn Akbar Ali telah berkongsi lima cara untuk seseorang itu berbuka puasa dengan cara yang sihat.
Umum mengetahui kita berpuasa untuk menahan diri daripada rasa lapar namun ia bukanlah tiket untuk seseorang berbuka dengan menikmati makanan secara tidak sihat. Sebaliknya semua makanan yang diambil perlulah secara sihat dan bersederhana.
Tanpa berlengah jom kami kongsikan lima cara untuk berbuka dengan cara yang sihat:
#1 Berbuka puasa dengan air yang sihat

Apabila sebut mengenai air yang sihat, sudah tentu ianya adalah air kosong atau mungkin ada di antara anda memanggilnya air putih.
Kata Dr Onn Akbar, seseorang digalakkan untuk minum air atau susu panas dan elakkan daripada minum air yang manis.
“Sebab kita nak bagi air dalam badan dan elakkan simple karbohidrat dan air yang manis,” katanya.
Tak dinafikan banyak air manis yang dijual atau mungkin lalu di media sosial anda yang nampak begitu menyelerakan. Nak lagi apabila tengah kehausan di siang hari memang air manis ini mengundang rasa keinginan yang begitu tinggi.
Namun kenikmatan itu tidak sepenting kesihatan anda. Sekiranya teringin mungkin ia boleh diambil sedikit namun tidak berlebihan.

#2 Mulakan dengan makan makanan karbohidrat kompleks

Menurut Dr Onn Akbar, jika seseorang itu ingin mengurangkan berat badan, gula dalam darah atau kadar kolestrol di dalam badan mereka perlu mengutamakan makanan yang mempunyai karbohidrat kompleks.
“Antara cara baik untuk buka puasa adalah makan sayur-sayuran dulu, kemudian makan protein dan lemak. Sebab makan sayuran, protein dan lemak itu akan mengenyangkan badan dan perut pada kadar yang cepat,” katanya.
Menurutnya lagi nasi dan juga mi merupakan simple karbohidrat yang boleh meningkatkan kadar gula.
Memetik laporan Hello Doktor, jenis karbohidrat kompleks terbahagi kepada dua kategori iaitu kanji serta serat.
Antara jenis makanan yang kaya dengan kanji adalah seperti roti, kentang serta jagung. Namun bagi contoh diet seimbang yang kaya dengan serat pula adalah seperti bijirin dan oat.
Selain itu antara makanan yang mempunyai karbohidrat kompleks seperti:
- Ubi keledek
- Labu
- Kekacang seperti kacang merah, lentil, kacang hitam
- Sayur-sayuran
#3 Kurangkan makanan bergoreng

Dr Onn Akbar turut menasihatkan untuk mengurangkan makanan yang bergoreng khususnya makanan yang digoreng dalam minyak yang banyak atau dipanggil ‘deep fry’.
“(Contohnya) gunakan minyak yang dah guna sebelum ni, kita gunakan balik untuk goreng (makanan lain). Ia adalah satu cara makan yang tidak sihat.”
#4 Minum air yang cukup

Air merupakan sumber yang begitu penting untuk manusia. Bahkan badan juga sukar untuk berfungsi sekiranya seseorang tidak mempunyai air yang cukup.
Selain itu, memandangkan kita sedang berpuasa adalah sangat penting untuk anda minum air yang mencukup agar tidak berlaku dehidrasi sewaktu sedang berpuasa.
Malah kita juga ingin kekal cergas walaupun sedang menjalani ibadah berpuasa.
#5 Makan secara perlahan-lahan

Ya tak dinafikan kita sememangnya lapar selepas seharian berpuasa, namun ia bukanlah alasan untuk anda makan dengan gelojoh.
Beri masa pada diri anda untuk menikmati makanan dengan baik, kunyah dengan makanan sehingga hancur agar perut dapat memprosesnya dengan baik.
Sebaliknya sewaktu menikmati makanan kita patut menghayatinya dengan penuh rasa syukur dengan rezeki makanan serta menghargai kejayaan diri kerana dapat menyelesaikan ibadah puasa pada hari tersebut.
Selain itu, anda juga dinasihatkan untuk tidak makan terlalu banyak atau tanpa henti. Sebaliknya ambil makanan sedikit demi sedikit dan berhenti makan sebelum berasa terlalu kenyang.
@dronnakbarali Cara berbuka puasa yang sihat. Boleh jadikan panduan #dronn #pakarjantung #kpjkajang #puasa
♬ original sound – DR ONN AKBAR ALI – DR ONN AKBAR ALI

![Lelaki Terkedu Tengok Presentation Makanan ‘Gah,’ Sekali Dapat Sate 3 Cucuk Buat Ramai Terhibur [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)


