
Kota Kinabalu: Pakatan Harapan (PH) Sabah mahu Kerajaan Persekutuan melunaskan baki bayaran interim RM900 juta berkaitan pemberian khas 40 peratus sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Disember ini.
Pengerusi PH Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata pembayaran itu akan menjadikan keseluruhan bayaran interim berjumlah RM1.5 bilion, selepas pembayaran awal RM600 juta dibuat.
Beliau berkata baki RM900 juta itu kini dalam proses pewartaan dan penelitian akhir oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Kita mahu bayaran itu dibuat sebelum persidangan DUN pada Disember supaya ia dapat dimasukkan dalam hasil negeri untuk perbelanjaan tahun depan bagi perkara yang berkaitan dengan kepentingan rakyat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PH Sabah, di sini, Jumaat.
Mustapha berkata PH Sabah turut mencadangkan supaya mekanisme pembayaran interim pada masa depan dilaksanakan secara berperingkat, berbanding mengekalkan jumlah tetap bagi tempoh lima tahun.
Beliau berkata peningkatan bayaran setiap tahun perlu mengambil kira hasil yang dijana oleh agensi Persekutuan di Sabah berdasarkan jumlah yang dipersetujui menerusi rundingan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Kita tidak mahu RM1.5 bilion itu kekal pada jumlah sama selama lima tahun selepas diwartakan. Kita mahu ia dilaksanakan secara progresif, dengan peningkatan setiap tahun berdasarkan hasil yang dijana oleh agensi Persekutuan di Sabah.
“Ini cadangan kita sementara menunggu pencapaian hak sebenar 40 peratus,” katanya.
Mustapha berkata pencapaian hak 40 peratus itu bergantung kepada rundingan serta keupayaan fiskal dan kedudukan kewangan negara.
Beliau berkata PH Sabah turut mahu Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan bagi membuka laluan kepada penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, langkah itu penting bagi menegakkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang memperuntukkan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah, Sarawak dan Singapura ketika pembentukan Malaysia.
Memandangkan Singapura telah keluar daripada Malaysia, beliau berkata prinsip satu pertiga itu sewajarnya dikekalkan untuk Sabah dan Sarawak.
“Kita mahu Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pindaan Perkara 46 pada persidangan Parlimen tahun depan. Pindaan Perlembagaan itu perlu dibuat terlebih dahulu sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan kajian dan seterusnya proses persempadanan semula.
“Bagi rakyat Borneo, kita mesti mempertahankan semangat MA63 bagi memastikan Sabah dan Sarawak mendapat perwakilan sewajarnya serta mempunyai suara yang mencukupi di Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau berkata sebelum ini beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SPR bersama Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak bagi membincangkan perkara itu.
Mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Mustapha berkata PH Sabah akan mempertahankan tiga kerusi Parlimen yang dimenanginya, iaitu Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan.
Beliau berkata PH Sabah turut meneliti beberapa kerusi berpotensi lain untuk ditandingi tanpa menjejaskan kerjasama dengan parti komponen dalam Kerajaan Negeri.
“Ini mungkin termasuk kerusi yang tidak dipegang oleh GRS. Kita sedang mengkaji kawasan pilihan raya berkenaan untuk dibawa ke meja rundingan dengan mana-mana pihak yang berminat untuk bekerjasama dengan kita,” katanya.
Beliau berkata PH Sabah belum mengadakan perbincangan rasmi dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembahagian kerusi, meskipun perbincangan tidak rasmi telah berlangsung.
Mustapha berkata kerjasama antara PH dan GRS kekal baik, sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
Katanya, PH Sabah kini memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti bagi tempoh setahun akan datang menjelang PRU16, termasuk usaha memperkukuh kekuatan jentera parti-parti komponen.
“Kita menjangkakan pilihan raya diadakan tahun depan, tetapi tidak tahu sama ada ia mungkin diadakan lebih awal. Sebab itu kita perlu bersedia.
“Kita akan memberi tumpuan kepada tiga kawasan Parlimen ini terlebih dahulu sebelum beralih kepada beberapa kerusi Parlimen lain yang telah dikenal pasti mempunyai potensi,” katanya.
Beliau turut memperkenalkan Datuk Ruji Ubi sebagai Setiausaha PH Sabah yang baharu, sambil menyifatkan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran negeri dan Persekutuan sebagai aset kepada gabungan itu.




