
DATUK Seri Siti Nurhaliza menerima pujian warga maya selepas berkongsi momen menyentuh hati apabila menyantuni seorang pemandu teksi yang pernah berjasa dalam perjalanan awal karier seninya.
Menerusi perkongsian laman sosial Yayasan Nurjiwa tersebut, Biduanita Negara tidak ketinggalan meraikan warga emas itu dalam satu majlis berbuka puasa di tanah kelahirannya di Kuala Lipis, Pahang.
Ia sekali gus mengimbau kenangan ketika menyertai pertandingan Bintang HMI pada 1 April 1995, apabila warga emas itu berkenaan pernah memandu teksi membawa beliau bersama ibu bapanya dari Kuala Lumpur ke Kuala Lipis.

"Momen yang cukup mengharukan. Pak cik inilah yang pernah memandu teksi membawa emak dan abah Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika beliau menyertai pertandingan Bintang HMI suatu ketika dahulu.
"Malah, pada hari dinobatkan sebagai juara, dia membawa pulang bersama hadiah sebuah televisyen besar hasil kemenangan tersebut," kongsinya.
Hantaran berkenaan sekali lagi mengingatkan warganet tentang perjalanan awal penyanyi tersohor itu sebelum bergelar bintang besar seperti hari ini dan menerima pujian warga maya.

"Saya saksi pada hari itu, teksi pakcik ni parking belakang kereta saya di RTM. Datuk Siti dan abangnya Ayie keluar dari teksi bergegas masuk. Manakala saya menurunkan CPU & beta untuk editing siri Usop Sontorian."
"Mulianya hati Siti Nurhaliza, sentiasa menyantuni orang-orang yang pernah berjasa kepadanya." '
"Mahalnya momen ini. Mesti Pak Cik ini tidak sangka dia bawa bakal seorang biduanita."

"Sampai ke pemandu teksi, Datuk Siti ingat siapa yang berjasa kepadanya."
"Tok Ti berjiwa besar."
"Alhamdulillah, tidak rugi menjadi orang baik. Beradab dengan semua orang, hidup pun jadi tenang. Semoga Allah memberkati Tok Ti dan keluarga. Juga buat pak cik tersebut, semoga ALLAH memberkati kehidupan yang berbaki, insya-ALLAH."
Sekadar info, Siti Nurhaliza memulakan kerjayanya di industri muzik Malaysia seawal usia 16 tahun selepas memenangi pertandingan nyanyian Bintang HMI anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) .
Selepas program itu berakhir, isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu telah menerima empat tawaran kontrak rakaman daripada syarikat rakaman antarabangsa sebelum dilamar oleh Suria Records.



