
KUALA LUMPUR – Satu perkongsian oleh Yayasan Nurjiwa baru-baru ini menyentuh hati ramai apabila memaparkan momen penuh nostalgia melibatkan Siti Nurhaliza Tarudin dan seorang pemandu teksi yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan awal kerjaya beliau.
Menerusi hantaran tersebut, yayasan yang diasaskan oleh Khalid Mohamad Jiwa dan Siti Nurhaliza berkongsi dua keping gambar yang memperlihatkan pertemuan semula dengan pemandu teksi berkenaan.
Menurut kapsyen yang dikongsikan, pak cik tersebut pernah memandu teksi yang membawa Siti Nurhaliza ketika beliau menyertai pertandingan nyanyian Bintang HMI suatu ketika dahulu.
Lebih mengharukan, pada malam Siti Nurhaliza dinobatkan sebagai juara pertandingan tersebut, keluarga beliau turut pulang ke Kuala Lipis dengan menaiki teksi pak cik yang sama, sambil membawa pulang hadiah sebuah televisyen besar hasil kemenangan berkenaan.
Bagaimanapun, pihak yayasan turut membuat pembetulan bahawa yang pulang ke Kuala Lipis bersama televisyen tersebut adalah ibu dan bapa Siti Nurhaliza.
Netizen Kongsi Kenangan
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang berkongsi kenangan mereka pada hari bersejarah tersebut.
Seorang pengguna mendakwa dirinya menjadi saksi kejadian berkenaan dan menulis:
“Saya saksi pada hari itu… teksi pakcik ni parking belakang kereta saya di RTM. DTC dan abangnya Ayie keluar dari teksi bergegas masuk, manakala saya menurunkan CPU dan Beta untuk editing siri Usop Sontorian.”
Seorang lagi pengguna, Rozisangdewi, turut berkongsi kisah lebih terperinci mengenai pemandu teksi tersebut yang dikenali sebagai Pakcik Lie.
Menurutnya, Pakcik Lie sering membawa ibu bapa Siti Nurhaliza berulang-alik dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur ketika penyanyi itu baru memulakan kerjaya sebagai artis.
“Inilah Pakcik Lie, kami panggil. Setia bawa teksi hantar-ambil ayah dan ibu Siti setiap kali ke KL masa tu baru-baru Siti jadi artis. Jasa pakcik ni kami kenang selalu.
“Ingat lagi, Siti menang Bintang HMI tu dapat sijil, wang tunai dan TV. Dulu bukan TV nipis macam sekarang. Arwah abah Siti pangku TV tu selama empat jam dari KL ke Lipis.
“Dulu belum ada highway, perjalanan KL–Lipis ambil masa empat jam. Pengorbanan dan kenangan semuanya manis untuk dikenang,” tulisnya.
Bangga Dengan Kejayaan Siti
Seorang lagi netizen turut meninggalkan komen menyentuh hati dengan menyatakan pemandu teksi tersebut pasti berbangga melihat kejayaan “penumpang” yang pernah dibawanya.
“Mesti Pakcik Lie tumpang bangga bila penumpang yang dia bawa dari Kuala Lipis tu dah jadi Biduanita Negara, penyanyi hebat dan dermawan. Alhamdulillah,” tulisnya.
Majlis Berbuka Puasa Di Kuala Lipis
Dalam hantaran terdahulu, Yayasan Nurjiwa turut memaklumkan mereka berpeluang menganjurkan majlis berbuka puasa di Kuala Lipis yang merupakan kampung halaman Siti Nurhaliza.
Menurut perkongsian tersebut, program berkenaan turut melibatkan penyampaian sumbangan kepada komuniti setempat yang memerlukan.
“Berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat di kampung halaman sentiasa dekat di hati beliau. Tahun ini lebih bermakna apabila kami dapat berbuka puasa bersama komuniti setempat serta menyampaikan sumbangan secara langsung kepada yang memerlukan.
“Semoga usaha kecil ini membawa kegembiraan dan mengeratkan silaturahim di bulan Ramadan yang penuh keberkatan,” menurut perkongsian tersebut. – The Malaysian Update
The post Pertemuan Semula Dengan Pemandu Teksi Lama Undang Sebak, Kenangan Awal Perjalanan DS Siti Nurhaliza Dikongsi appeared first on The Malaysian Update.


