Pakcik Petai Lega, Isteri Bakal Jalani Pembedahan Mata Percuma Bulan Depan

Entertainment
25 Mar 2025 • 3:05 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Peniaga petai yang tular baru-baru ini menarik nafas lega selepas hasrat untuk menampung kos pembedahan mata buat isterinya yang terganggu sejak kira-kira 2 tahun lalu akhirnya dapat ditunaikan.

Mohd Noor Saad, 67 atau lebih mesra dengan gelaran ‘pakcik petai’ yang terpaksa menjaja ulaman tersebut sebagai ikhtiar mengumpul wang sebelum ini mengatakan bahawa isterinya, Astiah Yaakob, 63 dijadualkan bakal menjalani pembedahan mata di sebuah hospital swasta secara percuma pada bulan depan.

Berikutan itu, lelaki ini menganggap insiden yang membabitkan dirinya dengan anggota Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) ketika menjaja petai yang tular itu sebagai satu hikmah buat dirinya.

Oleh itu, Mohd Noor berterima kasih kepada pihak media dan beberapa hospital swasta yang sudi membantu isterinya menjalani pembedahan mata secara percuma.

image is not available

“Kami ini orang susah… saya kerja kampung saja pada usia sebegini serta menghidap penyakit darah tinggi. Untuk mencari sesuap nasi, masih stabil. Saya mendapat bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).”

“Sudah lama saya tunggu detik ini sebab sebelum ini kumpul duit tetapi tidak kesampaian. Hari ini, ada pihak mahu membantu… saya bersyukur sangat.”

Dalam pada itu, Astiah menyatakan bahawa setiap kali usai solat, beliau sering mendoakan agar dimurahkan rezeki dan dapat menjalani pembedahan mata kanan yang sudah tidak berfungsi akibat katarak.

image is not available

“Saya pernah menjalani pembedahan mata kiri kira-kira enam tahun lalu. Sekitar dua tahun lalu, mata kanan pula mula kabur dan kemudian tidak nampak langsung. Oleh itu, saya hanya bergantung pada mata kiri sepenuhnya.

“Sebelum ini, doktor memang ada memberi cadangan supaya menjalani pembedahan mata tetapi kami asyik tangguhkan kerana tidak cukup duit untuk menampung kos.”

image is not available

Di samping itu, anak kepada pasangan tersebut Siti Nor Hidayu Mohd Noor, 30, berkata terdapat 4 hospital swasta menghubungi keluarganya termasuklah dari ibu negara yang menawarkan bantuan berkenaan.

Kata Hidayu, mereka membuat keputusan untuk memilih sebuah hospital swasta di Seremban selepas menilai beberapa aspek, termasuk kos pengangkutan.

Difahamkan, kos pembedahan mata itu dijangka mencecah RM4,000 dan dijadualkan berlangsung pada 10 April depan.

Sumber : Berita Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.