Palestin buka pendaftaran calon pilihan raya pertama dalam tempoh 20 tahun

WorldPolitics
28 Sep 2026 • 10:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Palestin buka pendaftaran calon pilihan raya pertama dalam tempoh 20 tahun

RAMALLAH: Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin membuka pendaftaran senarai calon bagi pilihan raya legislatif yang dijadualkan pada 28 November, usaha pertama seumpamanya dalam tempoh dua dekad.

Permohonan dibuka pada jam 8 pagi waktu tempatan pada Sabtu di ibu pejabat suruhanjaya di Al-Bireh, Tebing Barat yang diduduki dan pejabatnya di Deir al-Balah, tengah Gaza, menurut kenyataan suruhanjaya itu.

Pendaftaran akan dibuka selama 12 hari sehingga 7 Oktober. Suruhanjaya itu melaporkan terdapat minat yang tinggi daripada bakal calon.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengeluarkan dekri pada 9 Julai bagi menetapkan tarikh pilihan raya untuk Baitulmuqaddis Timur, Tebing Barat yang diduduki dan Gaza.

Pilihan raya itu akan memilih 132 anggota Majlis Perundangan Palestin. Menurut suruhanjaya berkenaan, calon bagi majlis itu hanya boleh bertanding melalui senarai pilihan raya, manakala pencalonan individu tidak akan diterima. 

Setiap senarai perlu mengandungi antara 16 hingga 132 calon.

Suruhanjaya itu turut menegaskan, senarai calon perlu mematuhi syarat minimum perwakilan wanita yang ditetapkan undang-undang.

Kempen pilihan raya akan bermula pada 6 November, manakala pengundian awal bagi anggota pasukan keselamatan dijadualkan pada 26 November.

Pilihan raya itu akan menjadi yang ketiga bagi Majlis Perundangan Palestin, selepas pilihan raya pada 1996 dan 2006.

Majlis itu tidak lagi berfungsi sejak 2007 susulan perpecahan dalaman Palestin. 

Mahkamah Perlembagaan Tertinggi Palestin memutuskan untuk membubarkannya pada 2018.

Pilihan raya legislatif dan presiden yang dirancang pada 2021 dibatalkan selepas Abbas menangguhkan pengundian dengan alasan tiada kelulusan Israel bagi menjamin penyertaan rakyat Palestin di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki rejim Zionis. – AGENSI

The post Palestin buka pendaftaran calon pilihan raya pertama dalam tempoh 20 tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved