
KUALA LUMPUR: Pameran Engineer dan Marvex 2026 bakal menghimpunkan lebih 1,000 penyelesaian mekanikal dan elektrikal (M&E) serta pengudaraan, penyaman udara dan penyejukan (HVAC&R) terbaharu pasaran bagi edisi kelimanya September depan.
Pameran yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 25 September itu turut diadakan serentak dengan Pameran Pusat Data Asia (DCX Asia) yang membawakan tema ‘Powering Asia’s Digital Backbone’.
Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM), Ir. Yau Chau Fong berkata, platform tahunan itu bukan sekadar pameran biasa, sebaliknya mencerminkan evolusi profesion kejuruteraan di Malaysia dalam bertindak balas terhadap teknologi baharu dan keutamaan nasional.
Beliau berkata, Malaysia kini mempunyai lebih 260,000 jurutera berdaftar di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), manakala keahlian IEM sendiri sudah menghampiri 50,000 ahli.
“Bagaimanapun, angka sahaja tidak menggambarkan kekuatan profesion ini. Persoalan utamanya ialah adakah kita bersedia untuk mendepani apa yang bakal mendatangkan impak seterusnya memandangkan bidang kejuruteraan sedang berubah dengan sangat pantas.
“Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan digital, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan automasi telah mengubah cara kerja kita, sekali gus menjadikan pembelajaran sepanjang hayat bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan,” katanya pada majlis pratonton media Engineer & Marvex 2026 di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pecutan Eksport Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), S. Jai Shankar.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penyaman Udara dan Penyejukan Malaysia (MACRA), Gan Chok Ser berkata, industri pengudaraan, penyaman udara dan penyejukan (HVAC) kini bertindak sebagai infrastruktur kritikal yang menyokong sektor penjagaan kesihatan, pembuatan, keselamatan makanan dan pusat data.
Beliau berkata, beban kerja AI yang tinggi telah melonjakkan ketumpatan haba melebihi keupayaan reka bentuk penyaman udara konvensional, sekali gus menuntut evolusi sistem penyejukan yang drastik.
“Pasaran penyejukan pusat data di Malaysia diunjurkan berkembang sekitar 5.4 kali ganda, dengan teknologi penyejukan cecair (liquid cooling) berkembang lebih pantas bagi memenuhi permintaan komputer generasi seterusnya.
“Setiap sistem ini bergantung sepenuhnya kepada pakar HVAC untuk memastikan kecekapan tenaga dan prestasi yang boleh dipercayai,” katanya. – UTUSAN
The post Pameran Engineer dan Marvex 2026 sedia 1,000 penyelesaian M&E appeared first on Utusan Malaysia.


