BAC labur RM600 juta bina hab pembuatan serantau di Nilai

Business & Finance
6 Aug 2026 • 7:14 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BAC labur RM600 juta bina hab pembuatan serantau di Nilai

PETALING JAYA: Syarikat penyedia penyelesaian penyejukan mampan global, BAC, melancarkan pembinaan fasiliti pembuatan baharunya di Nilai, Negeri Sembilan membabitkan pelaburan bernilai AS$150 juta (kira-kira RM614 juta) bagi memperkukuh keupayaan pembuatan, inovasi dan kejuruteraan syarikat di rantau Asia Pasifik (APAC).

Pelaburan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun itu dijangka mewujudkan sehingga 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2035, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan maju dan inovasi serantau.

Fasiliti baharu itu akan dibangunkan di atas tapak seluas 18.2 ekar menerusi dua fasa. 

Fasa pertama yang dijadual siap pada penghujung 2027 merangkumi kilang pembuatan berkeluasan 30,000 meter persegi serta pejabat kejuruteraan dan pembuatan serantau.

Fasa kedua pula akan memberi tumpuan kepada penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penggunaan teknologi pembuatan termaju, dengan keseluruhan fasiliti dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030.

Fasiliti tersebut akan menghasilkan pelbagai produk penyejukan BAC termasuk menara penyejukan litar tertutup, penyejuk adiabatik, sistem penyejukan hibrid dan penyelesaian penyejukan cecair.

Kemudahan itu turut dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperkukuh rantaian bekalan, memendekkan tempoh penghantaran serta memenuhi permintaan pelanggan dalam sektor pusat data, industri dan infrastruktur komersial di seluruh rantau APAC.

Selain itu, BAC akan menempatkan makmal pembangunan dan ujian produk terkawal iklim yang pertama seumpamanya di rantau APAC bagi membolehkan pasukan kejuruteraan tempatan membangunkan serta mengesahkan teknologi penyejukan yang sesuai untuk iklim tropika dan aplikasi berketumpatan tinggi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Zuaida Abdullah berkata, pelaburan BAC mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap Malaysia sebagai destinasi pembuatan bernilai tinggi dan mampan.

“Pelaburan ini bukan sahaja mengukuhkan ekosistem perindustrian negara, malah menyokong sektor berpertumbuhan tinggi seperti pusat data dan elektronik maju, di samping mempercepat penggunaan teknologi cekap tenaga dan air.

“Ia juga mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam rantaian bekalan serta menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden BAC, Don Fetzer berkata, Malaysia memainkan peranan penting dalam strategi pertumbuhan global jangka panjang BAC.

“Pelaburan ini mengukuhkan komitmen kami untuk memperluas jejak pembuatan, mempertingkat keupayaan inovasi serta menyokong pelanggan di seluruh dunia menerusi penyelesaian penyejukan mampan yang memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Global merangkap Ketua APAC, Ted Lim berkata, fasiliti baharu itu membolehkan BAC berada lebih dekat dengan pelanggan dan rakan kongsi di rantau ini.

“Pengukuhan keupayaan pembuatan, kejuruteraan dan teknikal di APAC akan meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh kerjasama serta mempercepat penyampaian penyelesaian bagi menyokong pertumbuhan pesat sektor industri dan infrastruktur digital serantau,” ujarnya.

Selain mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, BAC turut merancang menjalinkan kerjasama dengan universiti tempatan, menyediakan program latihan industri dan membangunkan persekitaran kerja yang menyokong kesejahteraan pekerja.

Fasiliti berkenaan disasarkan memperoleh pensijilan LEED Gold dan FM Approved melalui penggunaan ciri-ciri cekap tenaga bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, sekali gus memperkukuh aspirasi Malaysia sebagai hab pembuatan dan inovasi serantau.

BAC berkata, pelaburan berterusan sehingga 2035 dalam bidang automasi, penyelidikan dan pembangunan serta teknologi pembuatan termaju akan menjadikan fasiliti di Nilai sebagai hab pembuatan serantau syarikat, sekali gus meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dan memperkukuh keupayaan memenuhi permintaan pelanggan di seluruh APAC. – UTUSAN

The post BAC labur RM600 juta bina hab pembuatan serantau di Nilai appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved