Pameran Matta Sabah pacu pemulihan pelancongan

LocalTravel
11 May 2025 • 4:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sisca Humphrey

Kota Kinabalu: Pameran Matta Sabah Edisi ke-25 dilancarkan secara rasmi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu, menandakan detik penting dalam usaha pemulihan dan pertumbuhan sektor pelancongan Sabah.

Pameran selama tiga hari bermula Jumaat itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew, dan dianjurkan oleh Ibu Pejabat Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dengan kerjasama Matta Sabah.

Christina menekankan kepentingan pameran ini sebagai komponen penting dalam usaha berterusan Sabah mempromosikan keunikan negeri itu kepada pelancong antarabangsa.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Sabah adalah tanah yang kaya dengan keindahan semula jadi. Budaya yang unik, ekosistem pelbagai dan peluang pelancongan berasaskan pengembaraan terus menarik minat pelancong dari seluruh dunia.

“Pameran ini adalah satu pencapaian penting dalam mempamerkan semua ini dan mengukuhkan komitmen kami untuk menjadi hab pelancongan utama,” katanya.

Beliau memaklumkan Sabah mencatat jualan sebanyak RM4.5 juta semasa Pameran Matta Kebangsaan (18–20 April di Kuala Lumpur), meningkat daripada RM3 juta pada 2024.

Menurut data Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Sabah menerima 923,709 ketibaan pelancong antara Januari hingga Mac, meningkat 18.9 peratus berbanding tempoh sama tahun 2024. Ini merangkumi 366,727 pelancong antarabangsa dan 556,982 pelancong domestik. Hasil pelancongan sepanjang tempoh tersebut mencecah RM2.13 bilion, meningkat 17.7 peratus tahun ke tahun.

Tiga pasaran pelancong antarabangsa utama ialah China (154,319 ketibaan), Korea Selatan (57,995 ketibaan), dan Brunei (45,469 ketibaan).

“Pertumbuhan ini mencerminkan permintaan tinggi terhadap produk pelancongan Kebudayaan, Kembara dan Alam Semula Jadi (CAN) Sabah seperti aktiviti kembara pulau, lawatan hidupan liar dan pengalaman budaya di destinasi seperti Kampung Budaya Mari Mari,” tambahnya.

Beliau menekankan peningkatan jualan mencerminkan minat global lebih luas terhadap tawaran pelancongan Sabah, mengukuhkan daya tarik negeri ni sebagai destinasi mesti-lawat di Asia.

“Industri kita bukan saja pulih tetapi berkembang maju. Permintaan untuk pengalaman kembara, alam semula jadi dan kebudayaan di Sabah telah meningkat secara mendadak. Pertumbuhan ini mengesahkan tempat Sabah di peta pelancongan global.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri baru-baru ini melancarkan kempen ‘Top 5 Mountains in Sabah’ di Pameran Matta Kuala Lumpur baru-baru ini, bagi mempromosi puncak-puncak terkenal termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Trus Madi dan Gunung Tambuyukon,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Rocky Kho berkata pameran kali ini menawarkan lebih banyak tawaran eksklusif.

“Pameran ini selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), meningkatkan keterlihatan Sabah sebagai destinasi utama dan mengukuhkan peranan Pameran Matta sebagai platform promosi pelancongan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Inisiatif Pelancongan Eko & Lestari Matta (Mesti) diteruskan, dengan tumpuan kepada pelancongan lestari, pemuliharaan hidupan liar dan marin serta pemeliharaan budaya.

“Pameran ini disusun untuk memberikan pengalaman berfokuskan pengguna, dengan ejen pelancongan yang dipercayai, pakej eksklusif dan promosi di tapak – memudahkan serta memberi inspirasi kepada perancangan percutian,” tambahnya.

Kejayaan pameran ini membuktikan daya tahan rantau ini dan keupayaannya menyesuaikan diri dengan trend global semasa, memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pilihan untuk pencinta alam, peminat pengembaraan dan pengunjung budaya dari seluruh dunia.

“Perjalanan penemuan dan pengembaraan bermula di sini, di Pameran Matta Sabah 2025,” kata Christina.