
KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Tourism Selangor menawarkan 30 produk pelancongan dengan potongan harga hingga 50 peratus di Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) 2025 sejak semalam hingga esok.
Pengurus Promosinya Khuzaimah Jamaluddin berkata pihaknya menyasarkan kedatangan 500,000 pengunjung serta merekodkan jualan sebanyak RM600,000 sepanjang tiga hari pameran itu berlangsung.

“Produk pelancongan menanti pengunjung merangkumi segmen perhotelan, taman tema, gastronomi, budaya dan warisan.
“Pameran Matta platform penting memperkenal produk pelancongan seperti Splash Mania, Muzium Coklat dan Jungle School Gombak untuk mengekalkan momentum kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025),” katanya.
Ditemui di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Khuzaimah memberitahu pameran Matta pada hari ini menampilkan Aizat Amdan yang mempersempahkan lagu tema kempen TMS2025.

“Selain itu, pas tahunan Farm Fresh hanya RM59 dilancarkan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Azmi Zainal (Boss Susu). Orang ramai berpeluang berkunjung ke ladang mereka di Seri Kembangan untuk tempoh setahun,” ujarnya.
Pada masa sama, Khuzaimah berkongsi Tourism Selangor turut memenangi pertandingan pameran terbaik melalui Matta Fair Excellence Award 2025.
“Saya percaya kami memenangi anugerah kerana pengisian menarik melalui 30 produk pelancongan. Kerjasama erat antara pemain industri juga merupakan elemen penting kejayaan ini,” katanya lagi.



The post Tourism Selangor tawar 30 produk pelancongan dengan potongan harga hingga 50 peratus appeared first on Selangorkini.




