Pameran Oyen jadi tarikan baharu Pavilion Selangor di MAHA 2026

23 Aug 2026 • 3:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pameran Oyen jadi tarikan baharu Pavilion Selangor di MAHA 2026

SHAH ALAM, 23 OGOS: Pavilion Selangor membawa kelainan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 apabila buat julung kali menampilkan pameran kucing secara eksklusif.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata Pameran Oyen kendalian Jabatan Perkhidmatan Veterinar dijangka menarik lebih ramai pengunjung khususnya dalam kalangan pencinta haiwan.

Menurutnya, Pavilion Selangor turut mengetengahkan Barbados Black Belly, kambing yang berpotensi menjadi pengeluar protein dan memainkan peranan penting dalam ekosistem keterjaminan makanan.

“Untuk edisi kali ini, Pavilion Selangor mengetengahkan kekuatan ekosistem agro negeri dari sudut pengeluaran makanan, teknologi, ternakan, perikanan, keusahawanan, pemasaran hingga agro-pelancongan.

“Ini mencerminkan usaha Selangor mencipta nilai pada setiap rantaian agro demi memperkukuh keterjaminan makanan negeri,” katanya kepada Media Selangor.

Image from: Pameran Oyen jadi tarikan baharu Pavilion Selangor di MAHA 2026
EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas Bengkel Semakan Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ICM) Negeri Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada 23 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Izham berkata Jabatan Perikanan akan mengadakan pameran ikan asli dan ikan asing sebagai alternatif mempromosi

kepelbagaian sumber perikanan selain penggunaan teknologi bioflok yang meningkatkan kecekapan penternakan ikan.

Menurutnya, pameran ikan hiasan marin pula akan menjadi platform bagi menyerlahkan lagi potensi industri bernilai tinggi sekali gus bakal menjadi sumber pendapatan lebih tinggi.

“Kita jangka pameran padi agensi IADA Barat Laut Selangor yang menunjukkan proses awal hingga akhir rantaian pengeluaran makanan asas turut menjadi tarikan.

“Padi merupakan komponen penting dalam keterjaminan makanan, justeru teknologi dan kecekapan pengeluaran perlu terus diperkasakan,” katanya.

MAHA 2026 akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dari 28 Ogos hingga 6 September ini dengan bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan.

Ekspo dwitahunan itu mengetengahkan konsep pemodenan dan inovasi pertanian serta pelbagai produk, teknologi, perkhidmatan dan peluang dalam sektor agromakanan.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, MAHA 2026 dijangka menarik lebih empat juta pengunjung selain menghimpunkan kira-kira 2,000 pempamer dari dalam dan luar negara, termasuk penyertaan 14 negara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved