Pan Gon: Diundi dalam Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia tonik untuk Harimau Malaya

27 Jul 2023 • 10:00 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Kebangsaan Kim Pan Gon (gambar) gembira dengan hasil undian pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 yang berpihak kepada Harimau Malaya.

Terutamanya apabila Malaysia tidak berdepan pasukan gergasi dalam Pot 1 dan 2 selepas diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Oman, Kyrgyzstan dan pemenang perlawanan pusingan pertama antara Taiwan dan Timor-Leste.

Pan Gon yang membimbing Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas 42 tahun Jun tahun lepas, yakin undian itu memberi motivasi kepada anak buahnya untuk memberi tentangan sengit dalam misi mereka mencipta satu lagi pencapaian.

“Kami akan berjuang untuk memberi keputusan terbaik kepada semua rakyat Malaysia. Ia bukan kumpulan yang mudah tetapi lebih baik daripada kumpulan lain, namun ia bergantung kepada bagaimana kami menyiapkan diri dan melakukan strategi dan pendekatan taktikal yang baik untuk bertanding di peringkat ini,” katanya selepas undian dijalankan di AFC House di Bukit Jalil di sini, hari ini.

Katanya peringkat kali ini adalah yang paling sukar dan paling menarik, justeru pihaknya akan melakukan persiapan terbaik untuk memberi kegembiraan kepada rakyat Malaysia.

Mengulas mengenai Oman dan Kyrgyzstan, Pan Gon berkata: “Oman saya tahu mereka kuat secara fizikal dan mental, selain mereka kuat di Timur Tengah. Kita mesti hormat sepenuhnya pasukan daripada Pot 1 dan 2... dan ia juga tidak mudah untuk melakukan perjalanan ke Timur Tengah dan Asia Tengah.”

Sementara itu, beliau berkata hasil undian hari ini memberi panduan dalam memutuskan dua pasukan bagi perlawanan persahabatan Tier 1, September ini.

“Kini kami lebih jelas, semua sudah jelas, mengenai jadual pada September, saya rasa dalam hari ini atau esok kami akan putuskan,” katanya.

Berdasarkan ranking dunia, Oman berada di kedudukan tertinggi 73, diikuti Kyrgyzstan (97), Malaysia (136), Taiwan (153) dan Timor-Leste (192).

Malaysia sebelum ini tewas dalam ketiga-tiga perlawanan persahabatan menentang Oman, dengan pertemuan terakhir pada 2015 yang tamat dengan keputusan 0-6.

Pasukan negara turut kalah 0-1 kepada Kyrgyzstan dalam pertemuan tunggal mereka pada 2018.

Malaysia akan membuat penampilan pada Piala Asia 2023 di Qatar yang dijadualkan bermula 12 Jan hingga 10 Feb tahun depan. -Bernama