Eksponen31/07/2026 - 07:00 Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA editor@dagangnews.com Apabila kilang ditutup, bahagian komunikasi korporat biasanya akan bekerja lebih masa. Mereka perlu mencari perkataan yang sesuai supaya penutupan operasi tidak kedengaran seperti penutupan operasi.
Setiap kali sebuah kilang besar ditutup, persoalan yang sama akan muncul. Adakah Malaysia semakin hilang daya tarikan sebagai destinasi pelaburan?
Maka keluarlah istilah seperti rasionalisasi, penyusunan semula, pengoptimuman dan pengukuhan daya saing. Semua orang kelihatan sedang melakukan sesuatu yang strategik, kecuali pekerja yang mungkin perlu mencari pekerjaan baharu.
Tahun 2024 menyaksikan Goodyear menutup kilangnya di Shah Alam selepas lebih lima dekad beroperasi. Kini Panasonic pula mengumumkan penutupan Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. (PAVCKM) menjelang akhir Mac 2027.
Lalu muncul pula pelbagai kesimpulan bahawa syarikat asing sedang mengemas beg dan tidak lagi berminat dengan Malaysia.
Sebenarnya tidak.
Panasonic hanya menutup sebahagian operasinya dan masih mempunyai kira-kira 12,000 pekerja di Malaysia. Tayar Goodyear pula masih boleh dibeli. Kedua-dua jenama ini tidak ke mana-mana. Ia masih berada di kedai, pusat servis dan papan iklan.
Yang pergi ialah sebahagian aktiviti pembuatan produk yang suatu ketika dahulu menjadi asas kepada pertumbuhan sektor pembuatan negara.
Hakikatnya, keputusan Panasonic juga tidak boleh dilihat secara berasingan. Pasaran televisyen dan pemain Blu-ray global telah lama berubah apabila pengguna semakin beralih kepada platform penstriman digital. Panasonic sendiri menjelaskan penyusunan semula ini adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan daya saing operasi pengeluarannya di peringkat global.
Kilang tutup bermulalah rantaian domino
PAVCKM akan menghentikan pengeluaran televisyen dan pemain Blu-ray menjelang September 2026. Pengeluaran pemain Blu-ray akan dipindahkan ke China.
Produk Hi-Fi Technics pula akan dihentikan menjelang Februari 2027 sebelum pengeluarannya dialihkan kepada syarikat lain dalam kumpulan. Kira-kira 400 pekerja dijangka terjejas.
Dalam bahasa korporat, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan daya saing. Tidak salah pun. Syarikat memang perlu menjaga kos dan keuntungan.
Jika setiap operasi rugi tetapi terus dikekalkan atas dasar kenangan, lama-kelamaan ibu pejabat pun boleh bankrap dan ditutup. Cuma perkataan "daya saing" tidak membayar ansuran rumah pekerja.
Goodyear sudah menunjukkan apa yang berlaku apabila sebuah kilang lama tidak lagi sesuai dengan perancangan global syarikat. Operasinya dilaporkan mengalami kerugian sejak 2017 sebelum kilang di Shah Alam ditutup, menyebabkan kira-kira 550 pekerja terjejas.
Malah, penutupan kilang di Shah Alam juga berlaku ketika Goodyear melaksanakan pelan transformasi global bagi mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan.
Ini menunjukkan bahawa keputusan tersebut bukan berpunca daripada keadaan Malaysia semata-mata, sebaliknya sebahagian daripada strategi penyusunan semula operasi syarikat di peringkat antarabangsa.
Mesin boleh dihentikan mengikut jadual. Kontrak boleh ditamatkan dengan notis. Kehidupan pekerja pula biasanya tidak sempat menjadi begitu teratur.
Mereka perlu mencari pekerjaan yang sesuai dengan usia, pengalaman dan kadar gaji terdahulu. Vendor pula perlu mencari pelanggan baharu. Kedai di sekitar kilang pula tertanya-tanya sama ada pelanggan lama akan digantikan oleh pelanggan lain. Semua itu tidak dimasukkan dalam jadual rasionalisasi.
China China China China
Apabila Panasonic mengumumkan pemindahan pengeluaran pemain Blu-ray ke China, mulalah ada yang meratib nama negara itu.
China lagi?
Harga murah, China. Kilang tutup, China. Kalau mesin fotostat pejabat rosak esok, mungkin China juga yang akan dipersalahkan.
Kita perlu mengakui bahawa China memang mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi. Pembekal komponen, kilang, automasi, logistik dan pasaran pengguna semuanya berada dalam satu ekosistem yang besar.
Produk mereka pula tidak semestinya perlu menjadi yang paling hebat. Cukuplah pada harga yang membuatkan pengguna memandang sesuatu jenama hanya seketika, kemudian memeriksa semula baki dalam akaun bank sambil berkira-kira.
Namun begitu, kisah China tidak semudah datang mengambil semua kilang dari Malaysia, memasukkannya ke dalam kontena dan membawanya pulang.
Ketika sebahagian pengeluaran Panasonic dipindahkan ke China, Prinx Chengshan dari negara yang sama pula sedang membangunkan kilang tayar bernilai RM2.6 bilion di Kedah Rubber City. Projek itu dirancang dengan automasi, gudang pintar, teknologi Industri 4.0 serta pusat penyelidikan dan pembangunan.
Ini bukan sekadar kilang baharu dengan cat yang lebih cantik dan papan tanda yang masih berkilat. Model operasinya juga berbeza daripada kilang lama yang dibina ketika tenaga kerja murah menjadi antara kelebihan utama Malaysia.
Bezanya, kilang generasi baharu tidak semestinya memerlukan tenaga kerja yang ramai. Automasi, robotik dan pendigitalan membolehkan pengeluaran yang lebih tinggi dengan bilangan pekerja yang lebih kecil. Sebab itu, pelaburan baharu hari ini tidak lagi boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah pekerjaan yang diwujudkan.
China mengambil sebahagian pengeluaran. China juga membawa pelaburan. Jadi, masalahnya bukan semata-mata China. Persoalannya ialah jenis kilang yang Malaysia masih mampu tarik, kekalkan dan benar-benar jadikan sebahagian daripada ekosistem industrinya.
Banyak tu Bilion bilion
Pada suku pertama 2026, Malaysia meluluskan pelaburan berjumlah RM92.8 bilion. Sektor pembuatan menerima RM24.1 bilion dan dijangka mewujudkan 30,468 peluang pekerjaan.
Besar angkanya. Memang cantik jika diletakkan dalam infografik dengan anak panah yang menunjuk ke atas.
Namun, "diluluskan" belum bermaksud semuanya sudah dibina. "Dijangka" pula belum bermaksud semua pekerjaan itu benar-benar telah diwujudkan.
Sebanyak 37.4% jawatan berada dalam kategori pengurusan, teknikal dan penyeliaan. Namun hanya 17.9% menawarkan gaji melebihi RM5,000 sebulan.
Nama jawatan mungkin semakin hebat. Gajinya belum tentu meningkat seiring.
Pelaburan baharu juga tidak semestinya menggantikan pekerjaan yang hilang akibat penutupan kilang lama. Ada projek yang memerlukan ribuan pekerja ketika pembinaan, tetapi hanya beberapa ratus orang apabila mula beroperasi. Sebab itu, nilai pelaburan sahaja tidak cukup untuk menggambarkan manfaat sebenar kepada ekonomi.
Modal boleh berpindah pekerja belum tentu
Malaysia memang perlu mengejar industri yang lebih automatik, digital dan bernilai tinggi. Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung pada buruh murah, tanah murah dan pelepasan cukai.
Cuma modal boleh berpindah melalui satu keputusan Lembaga Pengarah. Pekerja pula perlu memikirkan rumah, keluarga, usia dan kemahiran yang belum tentu sesuai dengan industri baharu.
Latihan semula memang penting. Namun sijil baharu tidak semestinya datang bersama pekerjaan baharu.
Goodyear pergi, Panasonic mengecil dan Prinx pula masuk dalam konteks yang berbeza. Kesemuanya menunjukkan bahawa landskap sektor pembuatan Malaysia sedang berubah.
Persaingan hari ini bukan lagi sekadar menawarkan kos buruh yang rendah, tetapi keupayaan menyediakan ekosistem industri, tenaga kerja mahir dan teknologi yang mampu menyokong operasi bernilai tinggi.
Atas sebab itu, apabila sebuah kilang ditutup, persoalan yang wajar ditanya bukan sekadar berapa bilion pelaburan baharu telah diluluskan.
Lebih penting ialah sama ada pelaburan itu benar-benar menghasilkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh vendor tempatan, memindahkan teknologi dan meningkatkan produktiviti negara. - DagangNews.com





