Panasonic tutup kilang Shah Alam pada Mac 2027, 400 pekerja terjejas

LocalBusiness & Finance
28 Jul 2026 • 4:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Panasonic tutup kilang Shah Alam pada Mac 2027, 400 pekerja terjejas Image from: Panasonic tutup kilang Shah Alam pada Mac 2027, 400 pekerja terjejas liza28/07/2026 - 16:18 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Julai – Panasonic Corporation akan menutup operasi Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd (PAVCKM) di Shah Alam secara berperingkat sebagai sebahagian daripada usaha penyusunan semula operasi pembuatan global kumpulan elektronik Jepun itu.

 

Penutupan tersebut dijangka memberi kesan kepada kira-kira 400 pekerja apabila operasi PAVCKM dihentikan sepenuhnya menjelang akhir Mac 2027.

 

Menurut kenyataan Panasonic Malaysia, keputusan itu dibuat susulan langkah kumpulan berkenaan untuk memperkukuh daya saing perniagaan komunikasi audio visual (AVC) melalui penyusunan semula lokasi pengeluaran dan operasi pembuatan.

 

PAVCKM ketika ini terlibat dalam pengeluaran televisyen Panasonic, pemain cakera Blu-ray serta komponen sistem audio berjenama Technics di kilang Shah Alam.

 

Bagi pengeluaran televisyen, Panasonic akan menghentikan aktiviti pengeluaran di kilang Shah Alam menjelang akhir September 2026 sebelum operasi berkenaan ditamatkan sepenuhnya.

 

Pengeluaran Produk Dialihkan Ke Lokasi Lain Dalam Kumpulan Panasonic

Sementara itu, pengeluaran pemain cakera Blu-ray yang sebelum ini dibuat di Malaysia akan dipindahkan ke China Hualu Panasonic AVC Networks Co Ltd di China.

 

Bagi produk audio berprestasi tinggi jenama Technics pula, pengeluarannya akan dihentikan di Malaysia menjelang akhir Februari 2027 sebelum dipindahkan kepada syarikat lain dalam kumpulan Panasonic.

 

Panasonic berkata langkah pemindahan pengeluaran itu merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan memastikan perniagaan audio visual kekal berdaya saing dalam persekitaran industri yang semakin mencabar.

 

“Susulan penyusunan semula ini, PAVCKM akan menghentikan operasi. Kira-kira 400 pekerja dijangka terjejas menjelang akhir Mac 2027.

 

“Bagaimanapun, Panasonic akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan, agensi kerajaan serta Kesatuan Pekerja Industri Elektrik (EIWU) bagi memastikan kebajikan pekerja yang terkesan diberi perhatian,” katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Panasonic Kekal Komited Terhadap Operasi Di Malaysia

Antara sokongan yang akan diberikan termasuk bantuan penempatan pekerjaan serta peralihan kerjaya bagi membantu pekerja terlibat menghadapi perubahan akibat penutupan operasi tersebut.

 

Walaupun operasi PAVCKM akan ditamatkan, Panasonic menegaskan pihaknya masih akan meneruskan aktiviti pembuatan produk audio lain di Malaysia selain meningkatkan kecekapan operasi pengeluaran sedia ada.

 

Syarikat itu turut memberi jaminan aktiviti jualan serta perkhidmatan selepas jualan bagi produk televisyen dan audio Panasonic di Malaysia akan diteruskan seperti biasa.

 

“Malaysia kekal sebagai salah satu hab utama kumpulan di rantau ini dengan syarikat-syarikat Panasonic di Malaysia kini menggaji kira-kira 12,000 pekerja dalam bidang pembuatan bernilai tinggi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta fungsi korporat.

 

“Kami akan meneruskan komitmen untuk terus melabur di Malaysia bagi menyokong strategi pertumbuhan dalam rantaian bekalan bernilai tinggi serta terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan komuniti tempatan,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved