
Panasonic telah memperkenalkan kamera kompak baharu LUMIX L10 (DC‑L10). Ia diiklankan sebagai kamera kompak berkuasa dengan keseimbangan antara saiz dan prestasi.

Kamera ini hadir dengan sensor 20.4 MP MFT bersama lensa Leica DC Vario-Summilux 24–75mm F1.7–2.8. Ia dipadankan dengan sistem Phase Hybrid AF yang menawarkan 779 titik fokus serta pengecaman subjek berasaskan AI. Lensa zum standard juga sesuai digunakan untuk penggambaran harian dan turut menyokong rakaman makro sehingga 3 cm dari subjek.
Dari segi video, kamera ini menawarkan rakaman 5.6K 60p dan DCI 4K 120p dalam format 4:2:0 10-bit, atau DCI 4K 60p dalam format 4:2:2 10-bit. Sensor multi-aspect kemudiannya membolehkan rakaman ‘Open Gate’ dalam pelbagai nisbah aspek untuk kegunaan media sosial, malah turut disokong oleh mod rakaman MP4 Lite. Kamera ini juga menyertakan V-Log bagi memberikan kawalan warna yang lebih baik.

Sebagai tambahan, Panasonic memperkenalkan REAL TIME LUT dengan butang khas pada badan kamera yang membolehkan pengguna menambah gaya warna secara langsung. L10 juga menambah dua gaya gambar berinspirasikan filem iaitu L.Classic dan L.ClassicGold. Aplikasi LUMIX Lab pula membolehkan pengguna menghasilkan LUT melalui analisis AI daripada gambar rujukan asal.
Badan kamera ini seberat 508 gram termasuk bateri, kad SD dan penutup tapak kamera. Kemasan luarnya pula menggunakan tekstur kulit halus pada rangka hadapan magnesium dengan binaan logam. Ia juga menawarkan paparan viewfinder OLED 2.36 juta titik serta skrin LCD 1.84 juta titik yang boleh diputar untuk pelbagai sudut penggambaran.
Panasonic LUMIX L10 akan mula dijual pada bulan Jun dengan harga bermula $1499 (~RM5,888). Edisi khas Titanium Gold pula ditawarkan pada harga $1599 (~RM6,280) dalam kuantiti terhad.



