DJI telah memperkenalkan Mic Mini 2 iaitu mikrofon nirwayar kompak yang boleh digunakan bersama kamera, telefon, komputer, tablet serta peranti Osmo termasuk Osmo Pocket 3, Osmo 360, Osmo Nano dan Osmo Action 6 tanpa memerlukan penerima tambahan.

Mic Mini 2 hadir dengan pemancar seberat 11 gram bersama klip magnet boleh tanggal dan diputar bagi memudahkan kedudukan. Seterusnya, ia menyokong bluetooth 5.3 serta transmisi 2.4GHz untuk sambungan lebih stabil.

Selain itu, DJI turut menawarkan pilihan suara seperti Regular, Rich dan Bright, bersama dua tahap pembatalan hingar, fungsi pelaras kekuatan rakaman suara dalam lima tahap berbeza serta rakaman dwi-trek melalui aplikasi DJI Mimo untuk pengalaman rakaman lebih baik.
Julat transmisi Mic Mini 2 boleh mencapai sehingga 400 meter apabila digunakan dengan dua pemancar dan satu penerima. Pemancar berkapasiti 114mAh mampu bertahan sehingga 11.5 jam manakala penerima dengan 170mAh pula bertahan sekitar 10.5 jam dan mengambil masa kira-kira 100 minit untuk dicas penuh.

Dengan sokongan pengecasan pantas, hanya 5 minit pengecasan sudah cukup untuk memberikan 1 jam penggunaan, sementara kotak pengecas menambah sandaran sehingga 48 jam. Lebih menarik lagi, pengguna boleh menukar gaya dengan lapan pilihan warna ceria untuk penutup hadapan magnetik.

Di Malaysia, DJI Mic Mini 2 ditawarkan pada harga antara RM239 hingga RM399 bergantung kepada pakej. Bagi yang hanya memerlukan unit tambahan, DJI turut menjual pemancar berasingan pada harga sekitar RM139.





