Pancing Rakan Muda tawar hadiah lebih RM11,000

11 May 2026 • 4:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pancing Rakan Muda tawar hadiah lebih RM11,000
Pantai Berembang menjadi lokasi pilihan penganjuran GP Joran Perlis.
Image from: Pancing Rakan Muda tawar hadiah lebih RM11,000
Suasana pertandingan memancing di Pantai Berembang tahun lalu.

KANGAR – Hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM11,000 menanti peserta pertandingan memancing GP Joran Perlis yang akan berlangsung di Pantai Berembang di sini pada Sabtu ini.

Pertandingan anjuran Kelab Sukan Memancing Geng Pancing Unik (GPU) itu menawarkan hadiah utama RM5,000 kepada juara, RM1,000 bagi naib juara dan RM500 untuk tempat ketiga.

Selain itu, pemenang tempat keempat hingga ke-50 turut membawa pulang wang tunai RM100 setiap seorang.

Presiden GPU, Wan Mohd Fitri Wan Shahidan berkata, program berkenaan dianjurkan dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Perlis bagi menyokong inisiatif Rakan Muda Aktif yang dipromosikan jabatan itu.

Menurutnya, Pantai Berembang yang mempunyai kawasan pantai sepanjang lebih tiga kilometer amat sesuai dijadikan lokasi pertandingan memancing terutama ketika fenomena air pasang besar.

**media[3517201]**

“Pantai ini dihadang dengan tembok batu dan mempunyai laluan jalan raya sepanjang kawasan pantai yang memudahkan peserta meletakkan kenderaan serta menyertai pertandingan.

“Bagi acara kali ini, pihak kelab turut mendapat sokongan JBS Perlis sebagai usaha menyokong program Rakan Muda,” katanya.

Beliau berkata, ini merupakan kali pertama JBS Perlis memberi sokongan kepada pertandingan memancing di negeri itu sebagai usaha menarik lebih ramai golongan belia menyertai aktiviti rekreasi berkenaan.

Katanya, perkembangan itu membuktikan aktiviti memancing kini semakin mendapat perhatian dan sokongan kerajaan, khususnya dalam memperkasakan sukan rekreasi dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, kaunter pendaftaran akan dibuka di Pantai Berembang bermula jam 7 pagi manakala pertandingan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

“Pertandingan ini turut diadakan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. Yuran penyertaan ditetapkan RM50 bagi satu joran dan peserta dibenarkan memenangi lebih daripada satu hadiah yang ditawarkan,” katanya.

 

 

View Original Article