Pandang Pertama Acer Predator Atlas 8 – Pencabar Baru Masuk Gelanggang

TechnologyGaming
1 Jun 2026 • 4:13 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pandang Pertama Acer Predator Atlas 8 – Pencabar Baru Masuk Gelanggang

Beberapa hari lalu, Intel telah memperkenalkan siri cip pemprosesan Intel Arc G3 yang merupakan siri cip pemprosesan yang diperkenalkan khusus untuk konsol permainan komputer mudah-alih, dan Acer Predator Atlas 8 merupakan peranti kedua yang diperlihatkan selepas pelancaran Acer Nitro Blaze dua tahun lepas.

Kami berpeluang ke acara Computex Taipei dan hari ini telah berkesempatan untuk melihat sendiri sejumlah produk-produk baru yang akan tiba tidak lama lagi, dan Acer Predator Atlas 8 merupakan salah satu daripadanya.

Rekaan

Ini bukanlah kali pertama Acer memperlihatkan konsol permainan komputer mudah-alih mereka sendiri, yang mana mereka telah memperlihatkan Acer Nitro Blaze hampir dua tahun yang lalu. Akan tetapi, peranti tersebut nampaknya tidak begitu popular, dan ini menyebabkan Acer memikirkan semula strategi peranti tersebut.

Image from: Pandang Pertama Acer Predator Atlas 8 – Pencabar Baru Masuk Gelanggang

Dari segi rekaan, pada pendapat saya, Predator Atlas 8 hadir dengan rekaan rangka yang tidak begitu berbeza dengan penawaran konsol ROG Ally pertama oleh ASUS, tetapi masih mempunyai sedikit keunikannya sendiri. Lokasi butang input dan alat kawalan dilihat memiripi aturan alat kawalan Xbox, tetapi butang-butang picu L2 dan R2 boleh diubahsuai kedudukan kedalaman input, dan ini adalah sebuah ciri yang dapat diperlihatkan pada alat kawalan Lenovo Legion Go.

Dari segi saiz paparan, konsol Atlas 8 hadir dengan paparan IPS sesentuh bersaiz lapan inci dengan resolusi 1920×1200 dengan kadar segar semula 120Hz. Paparan ini juga adalah cukup cerah, dan apabila saya menguji permainan seperti Forza Horizon 6 pada konsol ini, saya tiada aduan dari segi kecerahan paparan.

Apa yang mengejutkan saya tentang konsol ini apabila saya mencubanya ialah betapa ringannya konsol ini. Bergantung kepada model cip pemprosesan yang digunakan, beratnya adalah antara 770 ke 810g sahaja. Ini adalah sedikit lebih berat berbanding dengan konsol ROG X Box Ally X, tetapi perlu juga diingati bahawa konsol Atlas 8 mempunyai paparan yang lebih besar.

Sama seperti semua konsol yang menggerakkan sistem operasi Microsoft Windows 11, perisian yang digunakan untuk mengakses platform permainan komputer ialah aplikasi Xbox, malah, Atlas 8 juga akan hadir dengan sokongan untuk Xbox Mode, yang mana bahagian desktop sistem operasi ini tidak akan diaktifkan untuk penjimatan memori, dan membolehkan permainan dimainkan dengan lebih cekap.

Perisian Predator Sense juga diperkenalkan untuk membolehkan pengguna menukar pelbagai tetapan konsol ini seperti prestasi CPU, melihat tahap penggunaan bateri, kemaskini perisian dan komponen dengan pemandu-pemandu baru dan sebagainya.

Spesifikasi Dan Prestasi

Konsol Acer Predator Atlas 8 ialah konsol permainan pertama yang diumumkan dengan penggunaan siri cip pemprosesan terbaru Intel Arc G3 yang berasaskan cip pemprosesan Intel Core Ultra X 300 yang dilancarkan pada awal tahun ini. Perbezaan paling ketara ialah cip pemprosesan ini dibangunkan khusus untuk konsol-konsol seperti ini, dan adalah pesaing kepada siri cip pemprosesan AMD Ryzen Z yang diperkenalkan beberapa tahun lalu untuk tujuan yang sama.

Image from: Pandang Pertama Acer Predator Atlas 8 – Pencabar Baru Masuk Gelanggang

Penjelasan lanjut tentang siri cip pemprosesan tersebut boleh dibaca melalui artikel ini, dan apa yang kita ketahui mengenai Predator Atlas 8 ini ialah ia akan hadir dengan pilihan kedua-dua CPU Intel Arc G3 Extreme dan juga Intel Arc G3, bersama-sama dengan memori LPDDR5X sebanyak 24GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.

Dari segi prestasi, seperti yang dikatakan, kami telah menguji permainan Forza Horizon 6 dengan konsol ini, dengan resolusi Full HD dan tetapan pertengahan, dan telah mendapatkan prestasi permainan dengan purata kadar bingkai 60FPS dan cukup lancar. Akses kepada pelbagai tetapan juga boleh diakses dengan mudah.

Image from: Pandang Pertama Acer Predator Atlas 8 – Pencabar Baru Masuk Gelanggang

Ia dilihat agak menarik bahawa Acer akhirnya telah memasuki pasaran konsol PC ini (Acer Nitro Blaze tidak dikira), tetapi dengan pihak Intel akhirnya menawarkan cip pemprosesan khusus untuk konsol-konsol seperti ini, pasaran ini nampaknya akan menjadi semakin hangat lagi.