Siri iPhone 16 dipasarkan di Malaysia serentak dengan Amerika Syarikat minggu lalu yang merupakan kali pertama ia berlaku sejak iPhone mula dipasarkan 17 tahun yang lalu. Tahun demi tahun akan muncul persoalan sama ada berbaloi ataupun tidak membeli model terkini dan paling mercu keluaran Apple.
Saya telahpun katakan dalam video beberapa minggu lalu bahawa lebih baik beli iPhone 16 Pro Max berbanding 15 Pro Max. Namun itu semua berdasarkan maklumat di atas kertas. Ini ialah pandang pertama saya mengenai iPhone 16 Pro Max selepas menggunakannya selama dua hari.
Spesifikasi
Apple iPhone 16 Pro Max Skrin 6.9″ LTPO Super Retina XDR OLED,
120Hz, Dolby VisionPemproses Apple A18 Pro Cip 2 X 4.04 GHz Kuasa Tinggi
4 X ? GHz KecekapanCip Grafik Apple GPU 6 Teras RAM 8GB RAM Muatan Dalaman 256/512/1000 GB NVMe Kamera Utama 48mp f/1.8 OIS, (Sudut Lebar)
48MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
12MP, OIS, f/2.8 5x Zum Optikal (Telefoto)
LiDARKamera Swafoto 12MP f/1.9 Bateri 4,685 mAh
Pengecasan berwayar 27W
Pengecasan nirwayar MagSafe 25W
Pengecasan nirwayar Qi 15WSIM/Telefoni 1 Nano, 1 eSIM
5GNFC Ya Bicu Audio Tiada Kalis Air IP68 Sistem Imbasan Pengimbas Face ID Harga Jualan RM 5,999 (8/256GB)
RM 6,999 (8/512GB)
RM 7,999 (8/1TB)
Skrin
Skrin tahun lebih besar mencecah 6.9″ LTPO Super Retina XDR OLED serta sokongan segar semula 120Hz. Sedikit lebih besar berbanding 6.7″sahaja pada model tahun lalu. Peranti masih lagi menyokong paparan HDR Dolby Vision dengan sudut pandangan yang baik walaupun di bawah matahari yang terang. Bezel tahun ini juga semakin nipis dengan ia membuatkan ia semakin hampir kelihatan panel kaca sepenuhnya.

Tatalan kelihatan lancar tanpa isu ghosting dan ia juga mengesan sentuhan dengan cukup baik. Terdapat laporan skrin tidak responsif tetapi ini melibatkan sebilangan kecil sahaja pengguna pada ketik ini. Ini tidak kami hadapi selepas beberapa hari peranti digunakan. Sistem segar semula LTPO memastikan kadar segar semula berubah mengikut keperluan dan ini akan mengurangkan penggunaan bateri.

Lubang kamera dengan Dynamic Island masih lagi ketara dengan ura-ura model tahun ini akan dilengkapi sistem imbasan Face ID bawah skrin tidak menjadi kenyataan. Oleh sebab itu lubang kamera yang besar ini akan mengganggu sesi menonton Netflix dan YouTube apabila video apabila dalam mod skrin penuh.
Satu perkara yang saya ingin puji ialah sistem haptik iPhone yang masih yang terbaik di pasaran. Menggerakkan menu dalam aplikasi dan laman web memang terasa seperti menggunakan butang sebenar kerana terasa sungguh realistik.
Biometri
Face ID masih lagi pada hemat saya sistem imbasan biometri yang tiada tandingannya di pasaran. Ianya pantas, disokong secara menyeluruh dalam setiap sistem dan juga aplikasi iOS dengan cukup sempurna. Walaupun pandemik sudah diisytiharkan berakhir, sokongan mengimbas wajah dengan pelitup muka masih disertakan. Ianya juga satu-satunya sistem imbasan wajah yang boleh berfungsi dalam situasi gelap gelita dengan ketepatan yang tinggi.

Rekaan
Rekaan tahun ini tidak banyak bezanya dengan tahun lalu. Cuma badan adalah lebih tinggi dan lebar disebabkan oleh penggunaan skrin yang lebih besar. Saya harus akui di peringkat awal terasa sedikit canggung memegang 16 Pro Max kerana bertahun-tahun lamanya selesa menggunakan iPhone dengan tubuh yang lebih kecil. Proses untuk membiasakan diri dengan peranti yang lebih besar dan sedikit lebih berat.

Tetapi degan tubuh lebih besar, ia terasa lebih seimbang dengan bahagian “kepala” tidak lagi terasa berat disebabkan oleh bonggol kamera di belakang. Saiz bonggol masih lagi sama tetapi kerana tubuh lebih besar, ia tidak lagi nampak begitu prominen seperti pada 15 Pro Max sebelum ini.
Tubuh dengan sisi rata amat selesa dalam tangan dan penggunaan bahan titanium dikekalkan. Pada siri kanan terdapat butang kuasa dan kamera baharu Camera Control. Di sebelah kiri pula terdapat dua butang laras audio dan Action Button. Camera Control ialah inovasi tahun ini yang memberikan kawalan lebih baik ketika menggunakan aplikasi kamera.

Ia bukan sekadar butang kamera seperti pada siri Sony Xperia kerana turut mempunyai panel sesentuh kapasitif. Kawalan zum dan mod kamera boleh dilakukan juga dengan menatalkan jari pada permukaan butang. Seperti Action Button, butang Camera Control boleh diubah untuk melancarkan aplikasi lain seperti Instagram, pengimbas kod QR, kanta pembesar atau mematikannya terus. Ini sahaja pilihan yang diberikan oleh Apple pada ketika ini. Pilihan lain yang diberikan ialah mengaktifkan butang ini dengan menekan sekali ataupun dua kali.

Panel belakang diperbuat daripada kaca dengan bonggol kamera yang masih lagi besar serta tinggi membuatkan ia terjengket daripada permukaan meja. Penggunaan kerangka adalah saya sarankan. Kaca pada panel belakang masih lagi diperbuat daripada kaca tahan lasak yang tidak berkilat membuatkan ia tidak memerangkap kotoran dengan mudah.

Di bawah terdapat lubang speaker dan akhirnya port USB-C yang menyokong pemindahan data menerusi USB-3 sehingga 10Gbps. Sekali lagi hanya model Pro diberikan USB-C dan kemampuan merakam video terus kepada sebuah SSD luaran. Pemilik iPhone 16 dan 16 Plus hanya perlu berpuas hati dengan USB-2 dan tiada sokongan rakaman terus ke SSD tahun ini sama seperti tahun lalu.

Akhir sekali pada sisi kiri terdapat satu talam SIM bersaiz nano dan sokongan untuk satu eSIM. Peranti juga masih melepasi piawaian kalis air dan debu IP68 yang adalah perlu bagi sebuah peranti mercu.
Penggunaan dan Perisian
iPhone 16 Pro Max dilancarkan dengan iOS 18 yang merupakan sistem operasi yang merapatkan lagi jurang antara Android dan iOS. Sebagai seorang pengguna tegar Android, saya melihat ini sebagai satu perkembangan yang baik kerana kedua-dua sistem operasi kini semakin setanding.
Pembaharuan paling ketara dilakukan pada muka depan dengan ia boleh diperibadikan tanpa perlu melakukan jailbreak. Antara yang boleh dilakukan ialah mengubah saiz ikon, ikon boleh disusun sesuka hati, warna ikon turut boleh diubah. Mahu jadikan iOS 18 seakan tema monokrom NothingOS? Anda boleh melakukannya dengan cukup mudah.

Pengalaman penggunaan iOS 18 juga adalah lancar dan tiada sebarang isu pada kesemua aplikasi lazim yang saya gunakan. Siri yang semalam ini saya labelkan sebagai pembantu maya yang perlahan, kini akhirnya lebih pantas. Ia boleh menjawab pertanyaan dan arahan sepantas Google Assistant. Arahan membuka aplikasi juga kini boleh dilakukan dalam masa sekelip mata tanpa perlu lagi menanti selama beberapa saat.

Apple menjanjikan Apple Intelligence yang merupakan kecerdasan buatan (AI) versi mereka tetapi pada ketika ini ia masih belum sedia diberikan kepada semua. Menerusi kemas kini yang akan diberikan bulan depan, akan terdapat ciri menjana imej dengan prom teks, bantuan menulis, sokongan ChatGPT secara terbina dan kemampuan menyunting gambar dengan lebih pintar. Ini semua adalah ciri yang saya sudah gunakan pada Pixel 9 Pro XL dan Galaxy S24 Ultra. Maka saya teruja untuk melihat AI versi Apple nanti.
Ini sebenarnya antara perkara yang mengecewakan kerana tahun demi tahun pelbagai ciri baharu hanya boleh digunakan kemudian. Ia sudah menjadi trend yang tidak sepatutnya berlaku. Ia seakan-akan memberikan petanda Apple Intelligence dibangunkan di saat akhir dan pengumuman disegerakan supaya Apple tidak nampak seperti ketinggalan.
Penanda Aras
Berikut ialah ujian penanda aras yang dilakukan bagi menguji kemampuan A18 Pro tahun ini. Ia masih lagi enam teras dengan teknologi 3nm. Saya bandingkannya dengan cip lain seperti A17 Pro (iPhone 15 Pro Max), Tensor G4 (Pixel 9 Pro XL), Snapdragon 8 Gen 3 (S24 Ultra), dan A16 Bionic (iPhone 14 Pro Max).
Geekbench 6
- Apple A18 Pro – 3359/8129
- Apple A17 Pro – 2793/6925
- Tensor G4 – 1916/4644
- Snapdragon 8 Gen 3 – 2329/7526
- Snapdragon 8s Gen 3 – 1860/4614
- Apple A16 Bionic – 2634/6761
- Snapdragon 8 Gen 2 – 1081/4204
- MediaTek Dimensity 9300 – 2071/5032
Geekbench AI
- Apple A18 Pro – 4516/7744/6204
- Apple A17 Pro – 3705 / 6515 / 5696
- Tensor G4 – 2058 / 2017 / 3129
- Snapdragon 8 Gen 3 – 1704 / 1829/ 2773
- Snapdragon 8s Gen 3 – N/A
- Apple A16 Bionic – 3514 / 6128 / 5344
- Snapdragon 8 Gen 2 – 1642 / 1674 / 2474
- MediaTek Dimensity 9300 – N/A
AnTuTu 3D
- Apple A18 Pro – 1,720,751
- Apple A17 Pro – 1,542,050
- Tensor G4 – 1,016,712
- Snapdragon 8 Gen 3 – 2,200,000
- Snapdragon 8s Gen 3 – 1,490,495
- Apple A16 Bionic – 1,457,779
- Snapdragon 8 Gen 2– 1,222,747
- MediaTek Dimensity 9300 – 1,852,552
3DMark Wild Life Extreme
- Apple A17 Pro – 4560
- Tensor G4 – 2567
- Snapdragon 8 Gen 3 – 4717
- Snapdragon 8s Gen 3 – 3083
- Apple A16 Bionic – 3355
- Snapdragon 8 Gen 2 – 3712
- MediaTek Dimensity 9300 – 4067

Kesimpulan
Selepas dua hari saya boleh katakan tidak terdapat banyak perbezaan ketara antara iPhone 15 Pro Max dan iPhone 16 Pro Max kecuali pada saiz skrin dan saiz tubuh. Setakat ini dapat dilihat sebenarnya terdapat peningkatan prestasi pada cip A18 Pro dalam ujian penanda aras tetapi tidak pada kegunaan dunia sebenar. Masih terlalu awal untuk memberikan pandangan pertama yang tepat maka saya hanya akan memberikan keputusan sama ada ia masih berbaloi dibeli selepas ia diulas sepenuhnya dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

Pro
- Skrin lebih besar selari dengan peranti mercu Android lain di pasaran.
- A18 Pro menawarkan peningkatan prestasi dalam ujian penanda aras.
- Kamera yang dipertingkatkan.
- iOS 18 hadir dengan lebih banyak pilihan ciri.
- USB-C dengan USB-3.
- Butang baharu Camera Control.
Kontra
- Lubang Face ID masih terlalu besar.
- Apple Intelligence masih belum boleh digunakan.
- Pengecasan sekadar 27W sahaja.


