Pandang Pertama MSI Claw 8 AI+ – Lagi Besar, Lagi Berkuasa

TechnologyDigital
4 Sep 2024 • 1:44 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

MSI Claw ialah konsol permainan PC yang diperkenalkan oleh MSI pada awal tahun ini, dan telah memasuki pasaran tempatan beberapa bulan kemudian. Dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Meteor Lake, ia memperlihatkan sedikit perubahan kepada pilihan lain yang rata-rata menggunakan cip pemprosesan AMD Ryzen Z1.

image is not available

Pada pertengahan tahun ini, MSI telah mengacah penggantinya, MSI Claw 8 AI+ yang memperlihatkan sejumlah kemaskini baru seperti paparan skrin 8.0 inci dengan kadar segar semula 120Hz, bateri 80Wh yang lebih besar dan satu lagi palam Thunderbolt 4.

image is not available

Sewaktu acara pelancaran siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V yang berlangsung di Berlin, kami berkesempatan untuk menyentuh sendiri konsol ini untuk seketika untk melihat sendiri apakah perbezaan baru yang diperlihatkan pada konsol ini.

image is not available

Pertama ialah saiz konsol ini yang lebih besar berbanding penawaran mereka sebelum ini, 8.0 inci pada konsol baru dan 7.0 inci pada konsol yang lama. Menariknya, penambahan saiz skrin sebanyak satu inci tidak memberi perubahan kepada berat konsol ini, kerana saya masih boleh memegangnya tanpa begitu banyak masalah.

image is not available

Satu lagi naik-taraf yang dibuat ialah dari segi penggunaan suis Hall Effect bukan sahaja pada alat kawalan analog, tetapi juga pada butang picu R2 dan L2 di belakang. Pihak MSI memberitahu kami sama seperti alat kawalan analog, butang-butang picu tersebut juga boleh ditukar sekiranya perlu.

Satu keputusan menarik yang diperlihatkan pada rekaan konsol ini ialah penambahan palam Thunderbolt 4 yang kedua. Pada mulanya saya ingatkan bahawa palam ini akan dimuatkan di bahagian bawah konsol ini untuk memberi pengguna pilihan cara mengecas konsol, dan mungkin MSI akan memperkenalkan aksesori dermaga untuknya.

image is not available

Tetapi palam Thunderbolt kedua ini diletakkan di tepi palam pertama, dan sebab yang diberikan ialah untuk membolehkan pengguna memasang aksesori tambahan ataupun storan tambahan apabila pala pertama digunakan untuk mengecas peranti.

Saya juga sempat untuk menguji prestasi konsol MSI Claw 8 AI+ ini dengan permainan komputer Hi-Fi Rush. Saya diberitahu bahawa permainan ini digerakkan pada resolusi Full HD dan tetapan pertengahan, dan walaupun tanpa skrin yang memperlihatkan kadar bingkai, saya dapat lihat bahawa permainan tersebut digerakkan pada sekurang-kurangnya 30FPS menggunakan kuasa bateri sahaja.

image is not available

Sayangnya saya tidak boleh melihat butiran seperti kadar bingkai dan juga kelajuan CPU, kerana unit yang digunakan untuk pameran adalah sebuah unit kejuruteraan, dan spesifikasi CPU yang digunakan tidak lagi disahkan.

Malah, apabila saya bertanya CPU Intel Core Ultra 200V yang manakah akan digunakan untuk menguasakan konsol ini, jurucakap MSI mengatakan bahawa mereka tidak boleh memberitahu kami buat masa ini kerana pihak mereka sendiri sedang menguji cip pemprosesan manakah yang paling sesuai untuk konsol sebegini.

image is not available

Perlu diingatkan bahawa perbezaan besar diantara model-model cip Intel Core Ultra 200V adalah dari segi kelajuan CPU dan penawaran memori LPDDR5X 16GB ataupun 32GB.

MSI mengatakan bahawa kebarangkalian besar konsol ini akan ke pasaran sekitar awal 2025, tetapi pengumuman mengenai spesifikasi penuh konsol ini mungkin akan dibuat lebih awal daripada itu. Mereka juga tidak boleh memberitahu samada MSI Claw 8 AI+ ini akan hadir dengan satu SKU, ataupun penawaran-penawaran berbeza.

image is not available

MSI Malaysia juga telah mengacah konsol MSI Claw 8 AI+ ini tempohari, jadi kami cukup yakin bahawa ia akan tiba di pasaran tempatan tidak lama selepas ia dilancarkan di pasaran-pasaran utama terlebih dahulu.