Pandang Pertama Nothing Headphone (1) – Ada Faktor X Untuk Gen X

TechnologyDigital
4 Jul 2025 • 2:44 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Nothing Headphone (1) dilancarkan awal pagi Rabu lalu dengan ia merupakan fon kepala pertama dikeluarkan oleh Nothing sejak ditubuhkan lima tahun lalu. Seperti semua produk Nothing, rekaan yang dipilih oleh mereka menimbulkan kontroversi. Ada yang menyukainya kerana produk Nothing kelihatan unik berbanding pengeluar lain. Ramai juga tidak menyukainya kerana terlalu luar daripada kotak. Pada pendapat saya ia lain daripada yang lain dari sudut pandangan positif tetapi ada beberapa pilihan rekaan yang agak aneh.

image is not available

Spesifikasi

Nothing Headphone (1)
JenisFon telinga belakang tertutup
Pemandu40mm dinamik
Mikrofon6 mikrofon
Bateri80 Jam ANC
35 jam tanpa ANC
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
CODECAAC, SBC,LDAC
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaSemua
Pad KawalanSuis kuasa,
Butang Bluetooth,
Pedal kawalan
Butang sesentuh
Kemampuan kalis airIP52
Harga Jualan $299 (~RM 1255)
Hitam dan Putih

DNA Retro Futuristik

image is not available

Rekaan Nothing Headphone (1) mengingatkan saya kepada rekaan beberapa fon kepala planar yang pernah dimiliki ayah saya di awal 80an. Rekaannya berkotak dengan suntikan DNA Nothing iaitu kemasan yang lutsinar dan rekaan seakan papan elektronik unik. Dua elemen rekaan pada sisi cawan (mungkin lebih sesuai dipanggil kotak?) telinga nampak seperti kaset analog yang menjadi penaman saya ketika tinggal di asrama MRSM lebih 30 tahun lalu.

image is not available

Sebagai insan Generasi X, saya sangat-sangat menyukai kebangkitan semula rekaan retro kerana ia membuatkan saya mengingati zaman muda beliau, sihat walafiat, lutut masih stabil, BMI masih munasabah dan tiada bebanan hidup seorang tua kutuk tak sedar diri.

Cawan telinga diperbuat daripada logam aluminium dengan kemasan plastik. Angkup telinga juga diperbuat daripada bahan yang sama dengan span yang bersaiz agak kecil diletakkan di bahagian atas. Lengan boles laras diperbuat daripada logam yang terasa ketat serta stabil apabila ditarik.

image is not available

Span telinga diperbuat daripada bahan PU dan busa memori. Cawan logam disambungkan kepada angkup menggunakan dua lengan logam yang tegap. Ini membolehkan cawan dipusingkan 90 darjah untuk disimpan. Seperti Sonos Ace dan Sony XM5, Headphone (1) tidak boleh dilipat.

Pada sisi cawan kanan diletakkan suis laras kuasa, pedal kawalan, butang sesentuh, bicu audio 3.5mm, port pengecasan USB-C, butang tambatan bluetooth dan butang “shuffle” yang akan saya sentuh fungsinya nanti. Headphone (1) ialah fon kepala dengan jumlah butang fizikal paling banyak pernah saya gunakan sepanjang hayat. Ini adalah bagi menyokong beberapa ciri yang setahu saya tiada pada fon kepala lain.

image is not available

Mulakan dengan pujian terlebih dahulu. Satu butang khas untuk kuasa adalah keputusan bijak pandai kerana memudahkan proses menghidupkan dan mematikan fon kepala. Satu lagi yang bijak pandai pedal kawalan langkau muzik yang juga apabila ditekan lama boleh memainkan audio pada kelajuan lebih tinggi seperti butang FF pada Walkman.

Butang sesentuh bujur seakan kacang pula digunakan untuk mengawal tahap kelantangan audio. Jika ditekan lama ia mengaktifkan ciri sekunder menghidupkan ANC akan mengubah ke mod tembus.

image is not available

Itu yang bagus tetapi ada juga kekurangan di mana butang tambatan bluetooth terletak pada bahagian dalam. Ia tersorok bersebelah span telinga. Sudahlah tersorok ia bersaiz kecil. Kuku jari perlu digunakan untuk memulakan tambatan. Mengapalah ia tersorok seperti ini? Hanya Carl Pei boleh menjawab soalan ini kerana ia langsung tidak ergonomik.

image is not available
Butang Bluetooth

Kemasan logam dan plastik membuatkan fon kepala kelihatan premium khususnya dalam warna putih. Bahagian logam tidak mengumpul kotoran dan minyak dengan mudah. Yang kami sedikit risau ialah kemasan plastik pada sisi cawan telinga. Plastik mudah tercalar dan selepas beberapa tahun akan menjadi mudah pecah. Hanya masa boleh menentukan sama ada kemasan sisi fon kepala ini tahan lasak ataupun tidak.

Selepas digunakan selama dua hari, saya boleh katakan Headphone (1) amat selepas dipakai di kepala. Saiz span yang besar membolehkan ia menutup sepenuhnya cuping telinga mengelakkan ia tersepit. Sebagai manusia bertelinga capang, span cawan telinga besar adalah keperluan dan bukannya pilihan. Telinga tidak terasa berpeluh selepas digunakan. Walaupun span angkup telinga adalah kecil, ia cukup tebal untuk tidak membuatkan ubun-ubun kepala terasa seperti ditekan.

Bekas Simpanan

image is not available

Bekas simpanannya adalah besar disebabkan fon kepala tidak boleh dilipat. Maaf Nothing tetapi keputusan tidak menyertakan mekanisme lipatan adalah satu lagi pilihan kurang tepat. Bagi insan yang menyimpan barang yang banyak dalam beg, sukar untuk memasukkannya ke dalam beg. Ini turut tidak dibantu oleh zip yang kecil dan sedikit sukar untuk ditarik.

Saya akui selepas menggunakan XM6 yang dilengkapi bekas simpanan bermagnet, bekas simpanan dengan zip terasa ketinggalan zaman. Rekaan Headphone (1) mungkin retro tetapi bekas simpanan perlu lebih terkini.

image is not available

Terdapat poket besar untuk menyimpan kabel kuasa USB-C dan kabel audio 3.5mm. Malah masih terdapat ruang untuk menyimpan palam pengecas dua mata jika diperlukan. Kemasan bekas simpanan daripada bahan felt ini juga sangat selesa untuk dipegang. Warna gelap pula memastikan ia tidak mudah nampak kotor selepas digunakan selama beberapa tahun.

Anda mahu tempat simpanan berwarna gelap kerana daripada pengalaman peribadi saya ialah, sebaik manapun anda menjadi kebersihan bekas simpanan warna terang akan menjadi kotor selepas setahun. Ini sebuah kepastian seperti setiap manusia akan mati dan dikenakan cukai.

Audio

image is not available

Penggunaan selama dua hari membolehkan saya menguji beberapa genre muzik dan kandungan penstriman. Kualiti audio adalah memuaskan untuk sepasang fon telinga premium. Pentas audio adalah lebih terbuka dengan penekanan diberikan kepada bass. Tetapi adakah ia lebih baik berbanding Sony XM6 dan JBL Tour One M3 yang saya ulas tahun ini? Ulasan penuh audio akan saya sertakan nanti. Tetapi pada ketika ini saya boleh katakan ia tidak mengecewakan.

Satu lagi yang tidak mengecewakan ialah terdapat sokongan audio spatial dan penjejakan kepala. Secara peribadi dua ciri ini tidak penting bagi saya tetapi ia disertakan juga oleh Nothing. Biasanya fon kepala dalam julat harga sekitar $299 tidak menyokongnya.

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Nothing Headphone (1)
  • 1x Beg simpanan.
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Kabel bicu audio 3.5mm
  • 1x Manual.
  • 1x Kad jaminan.

image is not available


Kesimpulan

Nothing Headpone (1) ialah fon kepala yang pada hemat saya menarik, unik dan dilengkapi pelbagai ciri tambahan. Dari segi rekaan tiada fon kepala lain di pasaran sepertinya. Sama seperti telefon mereka, fon kepala ini menyasarkan golongan yang mencari kelainan. Ianya selesa dan menerusi aplikasi terdapat banyak ciri tambahan yang tidak disokong pada fon kepala lebih mahal atau yang di dalam julat harga yang sama. Di Amerika Syarikat, Nothing Headphone (1) dijual pada harga $299 (~RM 1255) sepasang. Harga jualan di Malaysia hanya akan diumumkan pada 10 Julai. Ulasan penuh akan saya terbitkan pada tarikh tersebut.

image is not available

Pro

  • Rekaan sangat unik dan menarik.
  • Sokongan ANC, LDAC dan penstriman nirhilang USB-C
  • Audio spatial dan penjejakan kepala.
  • Hayat bateri yang panjang.
  • Sokongan sambungan kabel 3.5mm.
  • Pelbagai butang kawalan untuk ciri tambahan.

Kontra

  • Tidak boleh dilipat.
  • Bekas simpanan besar.
  • Butang tambatan Bluetooth di posisi yang aneh.