Nothing Headphone (1) Hadir Dengan ANC, Audio Nirhilang dan Bateri 80 Jam

TechnologyDigital
2 Jul 2025 • 2:00 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Fon kepala Nothing Headphpne (1) dilancarkan secara rasmi awal pagi ini dengan ia adalah fon kepala pertama Nothing. Seperti imej yang tertiris seminggu lalu, Headphone (1) mengambil inspirasi daripada rekaan fon kepala 80an yang digabungkan dengan rekaan futuristik lut cahaya.

image is not available

Fon kepala adalah dari jenis belakang tertutup dengan setiap cawan telinga dilengkapi pemandu audio 40mm dan sistem audio yang ditala oleh KEF. Butang kawalan kuasa, ANC, menyeru pembantu maya, melangkau muzik dan tambatan bluetooth kesemuanya diletakkan di cawan telinga kiri. Menariknya pada Headphone (1) ialah butang mengubah aras kelantangan audio mengesan tatalan jari.

Jika ditekan lama ia akan mengaktifkan ANC atau menghidupkan mod tembus. Suis seakan pedal pula digunakan untuk melangkau muzik dan jika ditekan lama akan mengubah kelajuan muzik dimainkan ke depan atau ke belakang. Implementasi Nothing adalah berbeza daripada fon kepala lain di pasaran. Malahan butang tambatan bluetooth tersorok di bahagian dalam cawan telinga kanan.

image is not available

Cawan telinga berbentuk empat segi diperbuat daripada logam dengan permukaan luar diperbuat daripada plastik dengan elemen lutsinar. Pad telinga pula diperbuat daripada bahan span dan PU untuk keselesaan. Angkup kepala diperbuat daripada logam dan plastik dengan lengan boleh dilaras.

Headphone (1) boleh digunakan menerusi tambatan bluetooth, kabel 3.5 mm dan kabel USB-C. Sistem tambatan pantas Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair disertakan sekali. Codec yang disokong adalah SBC, AAC, dan LDAC. Pentsriman audio nirhilang boleh dinikmati menggunakan kabel USB-C. Selain itu fon kepala menyokong juga audio spatial serta penjejakan kepala ketika dipakai.

image is not available

Bekas simpanan adalah berbentuk empat segi dan agak besar saiznya. Ini kerana seperti Sony XM5 dan Sonos Ace, fon kepala ini tidak boleh dilipat. Sebaliknya hanya lengan menyambungkan cawan telinga ke kepala sahaja boleh diputarkan 90 darjah supaya fon kepala boleh diletakkan rata di dalam bekas simpanan atau permukaan rata.

Bateri 1040 mAh boleh bertahan sehingga 80 jam jika digunakan tanpa ANC dan codec AAC. Ini berkurangan ke 35 jam jika ANC dihidupkan. Penstriman LDAC pula akan mengurangkan hayat penggunaan ke 30 jam sahaja dengan ANC. Menurut Nothing fon kepala boleh dicas semula dalam maasa 120 minit.

image is not available

Sepasang Nothing Headphone (1) dijual pada harga $299 (~RM 1255) dalam warna hitam dan putih. Harga tempatan pula akan diumumkan ketika majlis pelancarannya di Malaysia pada 11 Julai hadapan.