Pandang Pertama Proton e.MAS 5 – EV Kelas Permulaan Pada Harga Mampu Milik ? 

Cars
8 Aug 2025 • 9:01 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sedar atau tidak, Proton e.MAS dah menjengah setahun di pasaran tempatan dan sejak pelancaran Proton e.MAS 7, kita telah mula melihat lebih banyak kereta elektrik di jalan raya. Proton e.MAS 7 juga telah banyak dijual sepanjang tahun ini dan minggu ini mereka telah mengadakan sesi media membolehkan kami melihat dengan lebih dekat model kereta elektrik mereka yang seterusnya iaitu Proton e.MAS 5.

image is not available

EV SUV Segmen-B Dengan Ruang Dalaman Bagaikan Segmen-C

Untuk sesi media kali ini, kami diberikan peluang untuk melihat bahagian luaran dan dalaman dalam masa terhad dan juga menerusi sudut terhad kerana kereta yang dipaparkan merupakan versi prototaip, dan sekitar 60% sahaja yang mungkin berkait dengan versi akhir. e.MAS 5 mempunyai frunk sebesar 70L yang boleh menempatkan pelbagai barangan kerana motor elektrik diletakkan di bahagian belakang.

Ini menyebabkan ruangan but belakang yang boleh dibuka dengan automatik ini hanya mempunyai ruang sebesar 375L tanpa sebarang ‘ruang bawah’ seumpama Proton e.MAS 7. Ruangan storan belakang ini dapat diluaskan apabila kerusi belakang diturunkan, menjadikan ia mempunyai kapasiti 1320L.

image is not available

image is not available

Lampu hadapan dan rekaan but hadapan sekali pandang dilihat mirip Smart #1 yang mempunyai banyak sisi melengkung. Lampu e.MAS 5 berbeza dengan rekaan e.MAS 7. Untuk model yang dipaparkan ini, ia menggunakan tayar Linglong 205/60 R16/.

Sebuah lagi perbezaan ialah port pengecas terletak panel suku kiri kereta sedangkan e.MAS 7 yang menempatkannya di bahagian panel suku hadapan kanan. Mengapa perubahan ini dilakukan tidak dinyatakan tetapi ini membuatkan e.MAS 7 lebih ke arah rekaan kenderaan continental berbanding e.MAS 5 yang lebih Asia.

image is not available

image is not available

Di bahagian dalaman, Proton menyertakan skrin 8.8-inci untuk pemandu dengan skrin sistem inforia pula 14.4-inci dengan resolusi FHD Ia menggunakan sistem operasi Atlas yang menyokong tambatan Apple CarPlay dan Android Auto namun kami tidak berkesempatan mencubanya berikutan had masa 15 minit sahaja yang diberikan untuk sesi ini.

Terdapat juga fungsi Peta Pengecasan terbina yang juga tidak sempat kamu cuba kerana kekangan masa. Stereng pula mempunyai dua tona warna, dan dari segi kemasan boleh ia mempunyai lebih bahan plastik sesuai dengan harga yang bakal ditawarkan. Sedikit perbezaan adalah dari segi tombol pemilihan pemanduan yang diletakkan di bahagian tengah, dan e.MAS 5 tidak menggunakan tangkai gear pada stereng.

image is not available

Apabila duduk di bahagian belakang barulah dapat melihat keluasan EV Segmen-B ini. Di bahagian tempat duduk belakang ia menawarkan ruang kaki yang besar tanpa lutut menyentuh tempat duduk hadapan.

Kekurangan ialah ia masih menggunakan palam pengecas USB-A dan bukannya USB-C. Jika anda membeli peranti baharu sejak tiga tahun kebelakangan ini, kabel USB-C diberikan. Canggung sebenarnya kerana Proton X50 baharu mempunyai 3 UBS-C dan 1 sahaja USB-A. Bagaikan tiada sinergi antaa kereta ICE dan EV Proton.

Bagi menjamin keselesaan, terdapat juga penyaman udara yang boleh dilaraskan, dan ini sesuai dengan kita pengguna di garisan Khatulistiwa yang sentiasa disalai oleh mentari di atas kepala.

Prestasi Bersesuaian Kegunaan Bandar

image is not available

Dalam sesi ini juga tiada sebarang sesi pandu uji ditawarkan tetapi jika dilihat dari segi spesifikasi, Proton e.MAS 5 ini sesuai untuk kegunaan dalam bandar. Bateri sebesar 40 kW menawarkan jarak perjalanan sejauh 325 KM WLTP. Sistem pengecasan pantas DC 71 kW membolehkan pengecasan 30-80% sepantas 21 minit manakala pengecasan AC 6.6 kW boleh memenuhkan bateri 0-100% sekitar 7 jam.

Dengan kapasiti bateri yang kecil, ia juga mempunyai motor elektrik yang memberikan kuasa maksimum 85kW (~113 HP) dan tork 150 Nm dengan pecutan 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat. Pada prestasi sebegitu dan jarak perjalanan yang pendek, jelas sekali EV ini disasarkan sebagai kelas permulaan untuk perjalanan pendek yang lebih santai.

image is not available

image is not available

Buat masa ini tiada sebarang maklumat berkenaan harga mahupun penawaran aksesori lain. Jika dilihat dari corak aktiviti promosi Proton e.MAS 7 tahun lepas, mungkin ia hanya akan dijual menjelang pertengahan Oktober depan.

Sekiranya anda berminat untuk melihat Proton e.MAS 5 ini dengan lebih dekat, acara jelajah Misi 5 sedang diadakan dimana konvoi Proton e.MAS 5 akan singgah di beberapa bandar-badar utama, membolehkan anda melihat sendiri dan bertanyakan dengan Proton dengan lebih lanjut mengenainya.

image is not available