Pandang Pertama REDMAGIC 10 Pro – Fon Gaming Dengan Bateri Gergasi

TechnologyDigital
22 Jan 2025 • 10:27 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Hampir setiap tahun saya akan menguji kemampuan telefon pintar gaming REDMAGIC. Dari REDMAGIC 7s Pro, 8 Pro, 9 Pro, dan tahun 2025 giliran REDMAGIC 10 Pro pula diuji. Peranti ini kekal menggunakan rekaan segi empat yang rata di sekeliling sehinggalah pada skrin. Kemudian cip pula adalah Snapdragon 8 Elite dan REDMAGIC 10 Pro turut mengekalkan penggunaan kipas penyejukan fizikal. Persoalannya, adakah ini peranti gaming yang patut anda beli?

image is not available

SPESIFIKASI DAN REKAAN

REDMAGIC 10 Pro
Skrin6.853″ BOE Q9+, 1.5K, 144Hz
HDR10+, Gorilla Glass
PemprosesSnapdragon 8 Elite (3nm)

2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L
6x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M
Cip GrafikAdreno 830
RAM12GB RAM LPDDR5X Ultra
12GB RAM Maya
Storan256GB UFS 4.1 Pro
Kamera Utama50MP, f/1.9, OIS (Sudut Lebar)
50MP. f/2.2 (Ultra Lebar)
2MP, f/2.4 (Makro)
Kamera Depan16MP, f/2.0
Jenis bawah skrin generasi kedua
Bateri7050mAh
100W (Berwayar)
Sim/TelefoniDwi-SIM 5G
AudioSpeaker Stereo Dwi-115K
Kebuk suara gergasi 1.6cc
Qualcomm Snapdragon Sound co-tuning
Bicu audio 3.5mm
RangkaianWiFi 6,
Bluetooth 5.4
NFC
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap jari bawah skrin
Imbasan wajah
Harga JualanRM3,899 (12/256 GB)
RM4,899 (16/512 GB)

Di Malaysia, tidak banyak pesaing dalam telefon pintar gaming selain ASUS ROG Phone dan REDMAGIC. iQOO, Poco dan lain-lain telah beralih menjadi peranti mercu biasa dengan fokus kepada gaming. REDMAGIC turut tidak begitu memfokuskan kepada ciri AI dengan tumpuan diberikan kepada sistem penyejukan dan prestasi peranti.

image is not available

image is not available

Cip Snapdragon 8 Elite yang digunakan adalah sama dengan kebanyakan peranti mercu lain. Untuk unit ujian ini, ia dipadankan dengan memori 12GB RAM LPDDR5X Ultra dan storan dalaman 256GB UFS 4.1 Pro. Cip gaming RedCore 3 turut disertakan untuk pengoptimasian prestasi, dan kamera pula adalah 50+50+2 Megapixel dengan kamera swafoto 16MP jenis bawah skrin generasi kedua.

image is not available

Skrin peranti menggunakan panel OLED rekaan bersama antara REDMAGIC dan BOE. Ia menyokong resolusi 1.5K dengan kadar segar semula 144Hz tetapi tidak menggunakan teknologi LTPO. Bateri peranti adalah antara paling besar untuk peranti Snapdragon 8 Elite iaitu 7050mAh dengan sokongan pengecasan pantas 100W.

image is not available

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Dalam cubaan ringkas saya hari ini, REDMAGIC 10 Pro dilihat benar-benar serius ingin menjadi telefon pintar gaming yang boleh memikat hati orang ramai. Tidak kira lelaki atau wanita. Dengan penggunaan REDMAGIC OS 10, ia kini lebih ringan dan ringkas. Ia akan kelihatan seakan Android stok dengan tema ceria tersendiri. Ciri AI terhad kepada Google Gemini, apa yang ada dalam Google Photos serta ciri carian yang sedia terbina dalam Google Lens.

image is not available

Lain-lain dalam sistem operasi baharu mereka ini adalah untuk kawalan kipas, kustomasi tema dan mod gaming tersendiri. REDMAGIC OS 10 turut membenarkan pengguna menukar fungsi butang bahu menjadi butang lain seperti pengatup kamera dan sebagainya. Setakat penggunaan untuk beberapa jam, ia memang pantas dan lancar tanpa sebarang lengah masa berlaku.

image is not available

Skrin peranti pula kelihatan cukup cantik. Namun disebabkan saya sudah terbiasa dengan OnePlus 13, skrin OLED BOE baharu peranti ini kelihatan sedikit kurang memuaskan. Seperti OnePlus, peranti ini turut membuatkan saya rasa marah kepada Google Pixel 9 Pro XL kerana OLED REDMAGIC 10 Pro ini kelihatan lebih terang dan tajam serta mempunyai sentuhan yang sangat responsif.

image is not available

Hanya menggunakan dalam masa 15 minit, saya sudah boleh faham dan hafal apa ciri menarik dalam peranti ini. Saya kurang gemar dengan mod gaming yang tidak memberi ruang kustomasi yang lebih ketara. Pada hemat saya untuk tahun 2025, peranti dengan mod gaming harus ditawarkan dengan satu hab setempat atau pelancar khas seperti yang dapat dilihat pada Realme GT7 Pro.

Peranti dilengkapi kipas penyejuk fizikal terbina. Ketika saya melakukan pemindahan fail dan ujian penanda aras, kipas saya gerakkan pada kadar putaran maksima. Hasilnya adalah peranti yang tidak memanas dan hanya suam-suam kuku. Kemudian kalau OnePlus 13 adalah peranti mercu pertama saya yang mempunyai ketahanan bateri hampir 2 hari, saya harapkan bateri 7050mAh pada REDMAGIC 10 Pro ini dengan pengecasan 100W boleh bertahan lebih lama.

image is not available

Peranti ini turut dilihat menggunakan rekaan lebih kurang sama sejak REDMAGIC 8 Pro, di mana semuanya rata. REDMAGIC mungkin telah menemui rekaan selesa mereka, di mana hanya perubahan kecil dilakukan seperti corak dan kedudukan RGB. Peranti rata ini sedap dipegang jika tangan pengguna besar, tetapi saya kurang gemar kerana kemasan warna Shadow ini terlampau licin.

image is not available

image is not available

image is not available

Ketiga-tiga imej di atas adalah contoh hasil fotografi peranti ini. Sensor 50MP digunakan untuk kedua-dua sudut lebar dan sudut ultra lebar. Ia tiada kesan HDR seperti kebanyakan peranti mercu, tetapi mempunyai warna yang jelas semakin baik berbanding generasi sebelum. Untuk kamera swafoto, walaupun ia adalah sensor dan teknologi sama pada generasi sebelum – hasil imej kelihatan lebih kemas dan terang. Tiada lagi kesan kabur dan kelihatan seakan kualiti 3GP. Ia sangat memadai untuk penggunaan harian atau telesidang.

PRESTASI & PENANDA ARAS

Untuk penggunaan singkat, saya tidak sempat melakukan ujian mana-mana permua selain hanya berjaya melakukan ujian penanda aras. Mana-mana peranti Android dengan cip Snapdragon 8 Elite dengan fokus kepada prestasi dan gaming kelihatan akan mempunyai julat skor lebih kurang sama. Ujian yang dilakukan adalah dengan AnTuTu 3D, Geekbench 6, Geekbench AI dan 3DMark Wild Life Extreme.

image is not available

Mungkin kerana belum menerima sebarang kemas kini pengoptimasian peranti dan prestasi, kemampuan peranti ini berdasarkan ujian penanda aras tidak akan menggembirakan orang ramai. Lagi-lagi apabila cip Dimensity 9400 pada Oppo Find X8 Pro lebih tinggi berbanding cip Snapdragon 8 Elite pada REDMAGIC 10 Pro.

AnTuTu 3D

  • Snapdragon 8 Elite – 2,279,886
  • MediaTek Dimensity 9400 – 2,312,243
  • Apple A18 Pro – 1,720,751
  • Snapdragon 8 Gen 3 – 2,200,000
  • Apple A17 Pro – 1,542,050
  • Tensor G4 – 1,016,712
  • MediaTek Dimensity 9300 – 1,852,552

Geekbench 6

  • Snapdragon 8 Elite – 3,009/9,295
  • MediaTek Dimensity 9400 – 1,923/7,102
  • Apple A18 Pro – 3359 / 8129
  • Snapdragon 8 Gen 3 – 2329/7526
  • Apple A17 Pro – 2793/6925
  • Tensor G4 – 1916/4644
  • MediaTek Dimensity 9300 – 2071/5032

Geekbench AI

  • Snapdragon 8 Elite – 2,277/2,356/4,132
  • MediaTek Dimensity 9400 – 1,992/1,999/2,917
  • Apple A18 Pro – 4516 / 7744 / 6204
  • Snapdragon 8 Gen 3 – 1704 / 1829/ 2773
  • Apple A17 Pro – 3705 / 6515 / 5696
  • Tensor G4 – 2058 / 2017 / 3129
  • MediaTek Dimensity 9300 – N/A

3DMark Wild Life Extreme

  • Snapdragon 8 Elite – 6,647
  • MediaTek Dimensity 9400 – 6,008
  • Apple A18 Pro – 4560
  • Apple A18 – 3698
  • Apple A17 Pro – 3746
  • Tensor G4 – 2567
  • Snapdragon 8 Gen 3 – 4717
  • MediaTek Dimensity 9300 – 4067

PERBANDINGAN DENGAN PESAING

RedMagic 10 ProOnePlus 13Oppo Find X8
6.853″ BOE Q9+, 1.5K, 144Hz
HDR 10+, Gorilla Glass
6.82” LTPO 4.1, OLED, 120Hz
ProXDR, QHD+, 4500 nits,
Dolby Vision, Ceramic Guard
6.59″ LTPO AMOLED 120Hz, 4500 nits, HDR10+,
Corning Gorilla Glass 7i
Snapdragon 8 Elite (3nm)

2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L
6x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M
Snapdragon 8 Elite (3nm)

2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L
6x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M
Snapdragon 8 Elite (3nm)

2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L
6x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M
Adreno 830Adreno 830Adreno 830
12GB RAM LPDDR5X Ultra
12GB RAM Maya
16GB LPDDR5X
12GB Maya
16GB LPDDR5X
16GB Maya
256GB UFS 4.1 Pro512GB UFS 4.0512GB UFS 4.0
Kamera Utama

50MP, f/1.9, OIS (Sudut Lebar)
50MP. f/2.2 (Ultra Lebar)
2MP, f/2.4 (Makro)
Kamera Utama

50MP Sony LYT-808
(Sudut Lebar), ƒ/1.6, OIS
50MP Sony LYT-600 
(Telefoto), ƒ/2.65, OIS, 3x Zum Optikal. 120x Zum Digital
50MP S5KJN5
(Sudut Ultra Lebar), ƒ/2.05, EIS
Kamera Utama

50 MP, ƒ/2.0, OIS (Sudut lebar)
50 MP, ƒ/1.8 (Ultra-lebar)
50 MP, ƒ/2.6, OIS (telefoto)
Kamera Hadapan
16 MP, ƒ/2.0
UDC 2.0
Kamera Hadapan
32 MP, ƒ/2.5
Kamera Hadapan
32 MP, ƒ/2.4
Tiada perlindungan kalis air dan debuIP68/IP69IP68/IP69
Ada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
7,050 mAh
Berwayar 100W
6,000 mAh Dwi-sel
Berwayar 100W
Nirwayar 50W
5,630 mAh
Berwayar 80W
Nirwayar 50W
RM3,899 (12/256 GB)
RM4,899 (16/512 GB)
RM4,399 (16/512 GB)RM3,699 (12/256 GB)

KESIMPULAN

Setakat penggunaan ringkas ini, REDMAGIC 10 Pro berjaya meyakinkan saya yang mereka adalah fon gaming Android yang cuba menjadi yang terbaik di pasaran. REDMAGIC OS 10 yang mudah digunakan, prestasi yang lancar, tiada masalah pemanasan, dan ciri serta fungsi yang disertakan kelihatan mencukupi. Mereka tidak menawarkan perkara yang berlebihan sehingga harga peranti menjadi mahal atau menyertakan ciri gimik yang mungkin tidak akan digunakan pengguna.

image is not available

Jika anda tidak hiraukan kemas kini Android hanya sebanyak 2 versi dan tampalan sekuriti 4 tahun sudah memadai, ini adalah peranti untuk anda. Jika anda inginkan peranti gaming dengan skrin nirbingkai penuh yang bebas lubang kamera, bebas takuk serta bezel yang hampir tidak kelihatan – ini juga peranti untuk anda. Dengan harga jualan bermula RM3899 atau RM3499 jika anda melakukan pra-tempahan, walaupun saya belum habis mengujinya saya berani katakan ini adalah peranti gaming untuk semua.

PRO & KEBAIKAN

  • Rekaan ringkas tetapi premium
  • Prestasi hebat tanpa masalah pemanasan
  • Kamera semakin hebat
  • Bateri gergasi dengan pengecasan pantas
  • Skrin cantik tanpa sebarang gangguan
  • REDMAGIC OS 10 yang semakin matang
  • Masih ada bicu audio 3.5mm

KONTRA & KEKURANGAN

  • Kemas kini terhad kepada 2+4 tahun sahaja
  • Tiada perlindungan kalis air dan debu
  • Kemasan bahan binaan liquid metal yang mudah kotor