Pandelela Terus Cemerlang, Rangkul Pingat Lagi Bersama Dhabitah Di Budapest

1 Jul 2022 • 8:34 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Kemaraan Pandelela tidak dapat dibendung.

Pandelela Terus Cemerlang, Rangkul Pingat Lagi Bersama Dhabitah Di Budapest. Perjuangan Datuk Pandelela di bumi Hungary diakhiri dengan kejayaan yang begitu membanggakan. Pada awal pagi tadi, Pandelela sekali lagi telah mengharumkan nama negara. Kali ini bersama rakan gandingannya, Nur Dhabitah Sabri.

Pandelela dan Dhabitah berjaya mengalahkan duo penerjun dari Jepun, Jerman, Ukrain dan lain-lain untuk menaiki takhta podium dan memenangi pingat gangsa dalam acara terjun 10 meter platform seirama di belakang duo dari Amerika Syarikat dan China.

image is not available
Pandelela Terus Cemerlang, Rangkul Pingat Lagi Bersama Dhabitah Di Budapest. Reaksi Pandelela dan Dhabitah semasa mengetahui berada di kedudukan pingat. Kredit foto: REUTERS

Gandingan mantap ini mempamerkan aksi padu untuk mendapatkan pingat gangsa, sekaligus memperbaiki prestasi yang ditunjukkan semasa peringkat saringan yang berada di tangga keenam.

Rangkul gangsa di belakang Amerika dan China

Pandelela dan Dhabitah berjaya mengumpul 298.68 mata, manakala pasangan Amerika Delaney Schnell-Katrina Young meraih pingat perak dengan 299.40. Kedudukan juara pula didominasi oleh atlet dari China, Quan Hongchan-Chen Yuxin dengan jurang mata yang begitu besar iaitu 368.40.

image is not available

Pandelela kini miliki 7 pingat kejohanan dunia FINA sepanjang kariernya

Dengan kemenangan ini, Pandelela telah menambah satu lagi koleksi pingatnya, menjadikan 7 pingat telah dimenanginya dalam kejohanan dunia. Pingat gangsa bersama Dhabitah ini merupakan pingat keduanya dalam kejohanan tahun ini selepas meraih gangsa dalam acara 10 meter platform individu wanita tempoh hari.

Pingat bersama Dhabitah ini juga merupakan pingat ketiganya dalam acara terjun serirama bagi kejohanan dunia. Pada tahun 2017, beliau telah memenangi pingat gangsa bersama Cheong Jun Hoong dan seterusnya pingat perak pada tahun 2019 bersama Leong Mun Yee.

Bagi Dhabitah pula, ini merupakan pingat pertamanya di kejohanan terjun dunia FINA.

Tahniah diucapkan buat Pandelela dan Dhabitah! Kami bangga dengan anda!

Sebelum ini, kemenangan Pandelela juga diraikan oleh akaun rasmi Olimpik dunia. Baca selanjutnya di sini: