[PANDU UJI SULUNG] Mazda CX-60 2.5G 2WD High: 3 Perkara Penting Anda Patut Tahu...

Cars
21 Sep 2025 • 5:30 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Bermaz Auto Berhad (BAuto), wakil rasmi jenama Mazda di Malaysia, baru-baru ini melancarkan dua model SUV flagship baharu iaitu Mazda CX-60 dan CX-80.

image is not availableimage is not available

Sementara masih ‘panas’ di pasaran, BAuto telah mengadakan sesi pandu uji bersama media yang kami sertai untuk mencuba salah satu daripada model yang dilancarkan, CX-60 2.5G 2WD High. Selepas meluangkan masa selama selama beberapa hari dengan SUV ini, ini tiga perkara yang kami rasakan tentang CX-60…

1. Lebih Menyerlah & Matang

image is not available

Sekali pandang, jelas terasa aura CX-60 yang bukan calang-calang SUV. Rekaannya ‘kacak’ sepertimana model-model lain keluaran Mazda yang diberikan sentuhan elegan. CX-60 ini tampil dengan falsafah rekaan Kodo Design yang terbaru bersama gril besar dengan sisipan menegak, lampu depan projektor LED yang moden, lampu belakang LED yang halus dan rim aloi berukuran 20 inci. Ciri ikonik Mazda seperti hood yang panjang dan sudut belakang yang sporty kekal sama.

Dari segi ukuran, Mazda CX-60 kelihatan gah dengan dimensi 4,740 mm panjang, 1,890 mm lebar dan 1,675 mm tinggi serta jarak roda 2,870 mm, meletakkannya sebagai pesaing kepada model premium lain dari Eropah seperti BMW X3, Mercedes-Benz GLC dan Volvo XC60.

image is not available

Pelbagai pilihan warna ditawarkan untuk memenuhi citarasa ramai seperti Jet Black, Platinum Quartz, Rhodium White, Soul Red Crystal dan warna terbaru, Zircon Sand.

image is not availableimage is not availableimage is not availableimage is not availableimage is not availableimage is not available

Walaupun secara kasarnya model ini kelihatan tidak jauh berbeza daripada SUV Mazda yang lain, CX-60 tetap mudah dikesan oleh peminat kereta Mazda kerana beberapa elemen rekaan unik yang disematkan padanya selain ukurannya yang ‘gah’ menjadikannya sebuah jentera yang praktikal, dan ini membawa kita kepada ciri penting seterusnya...

2. Kabin Premium dan Praktikal

image is not available

Kalau Mazda CX-5 terasa agak kecil dan model tiga barisan tempat duduk, CX-8 pula terlalu besar, berkemungkinan besar model yang dicari-cari ialah Mazda CX-60. Sentuhan premium yang ditawarkan pada CX-5 dan CX-8 dapat dilihat pada CX-60 namun diberikan peningkatan yang menaikkan lagi ciri eksklusif jentera.

image is not availableimage is not available

Dari segi ruang, SUV lima tempat duduk ini cukup luas untuk menampung penumpang dan bagas yang banyak bagi perjalanan jauh. Walaupun model ini dibangunkan dengan sistem pacuan roda belakang (RWD), bonggol tengah pada barisan tempat duduk belakang tidak setinggi kebanyakan SUV lain, ini menjadikan kerusi belakang selesa untuk memuatkan tiga orang dewasa.

image is not availableimage is not available

Ruang but juga cukup memuaskan dengan kapasiti 570 liter yang boleh diperluaskan kepada 1,726 liter sekiranya kerusi belakang dilipat. Di but juga terdapat ruang khas untuk menyimpan tayar ganti, satu ciri yang agak jarang ditawarkan pada SUV premium masa kini.

image is not availableimage is not available

Dari segi teknologi, CX-60 dilengkapi dengan skrin infotainmen 12.3 inci yang menyokong sambungan Android Auto dan Apple CarPlay menggunakan kabel, selain meter digital penuh 12.3 inci yang dilengkapi papar pandu (HUD).

Seperti biasa, kabin CX-60 direka dengan tumpuan terhadap keselesaan dan kemudahan pemandu yang mana banyak butang dan tombol fizikal disediakan untuk memudahkan kawalan fungsi penting.

image is not availableimage is not availableimage is not availableimage is not available

Penggunaan upholsteri sentuhan lembut pada papan pemuka (dashboard) dan balutan kulit berwarna hitam untuk kerusi menyerlahkan ciri eksklusif, namun kemasan aluminium faux yang digunakan terasa kurang premium.

Kemudahan lain yang disediakan di kabin ialah pengecas tanpa wayar, port USB-C, bumbung panoramik dan sistem audio Bose yang mantap.

3. Kualiti Pemanduan Yang Cukup Baik, Tetapi…

image is not available

Mazda menggelar CX-60 sebagai "Emotional Driving SUV" kerana yakin model ini mampu memberikan pengalaman pemanduan yang memuaskan. Sejauh mana kebenarannya?

Varian yang kami uji ini dikuasakan oleh enjin petrol 2.5 liter Skyactiv-G dengan output 189 hp dan tork 261 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan roda belakang.

image is not availableimage is not available

Selain itu, CX-60 turut menggunakan sistem Kinematic Posture Control, yang berfungsi bersama sistem suspensi dan brek untuk memberikan kestabilan semasa membelok serta mewujudkan “rasa kesatuan” yang kuat antara pemandu dan kereta, sejajar dengan falsafah Jinba Ittai Mazda.

image is not availableimage is not available

Sepanjang perjalanan kami dari Kuala Lumpur ke Ipoh, CX-60 memberikan pengalaman pemanduan yang lancar dan cukup memuaskan. Di lebuh raya, kesemua penumpang kekal selesa, tetapi tahap serapan bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) boleh diberikan penambahbaikan kecil.

image is not availableimage is not available

Kehebatan sebenar CX-60 terserlah semasa melalui jalan kampung yang berliku dan tidak rata. Olengan badan (body roll) yang dirasakan tidak begitu ketara (tetapi ada), lebih baik daripada jangkaan untuk sebuah SUV yang tinggi. Selain itu, seperti yang dikatakan sebelum ini, sistem yang digunakan membuatkan pergerakan di selekoh-selekoh laluan B-road ini terasa cukup meyakinkan. Bagaimanapun, enjin 2.5 liter Skyactiv-G terasa kurang bertenaga di permulaan pecutan dan semasa keluar selekoh.

image is not availableimage is not available

Tetapi sebaik memasuki kelajuan meluncur atau cruising di lebuh raya, kuasa yang dibekalkan enjin terasa cukup lancar dan konsisten, menyerlahkan 'personalitinya' sebagai sebuah kenderaan yang selesa dan seronok dipandu bagi perjalanan jarak jauh.

Dengan dinamik pemanduan yang memuaskan, CX-60 mungkin akan terasa lebih sempurna sekiranya didatangkan dengan enjin yang lebih berkuasa, seperti enjin enam silinder sebaris 3.3 liter yang sudah ditawarkan di pasaran lain. Namun, jika dilihat daripada struktur cukai jalan Malaysia yang terkini, tahap kebolehpercayaan terhadap enjin 2.5 liter yang tinggi dan usaha untuk mengekalkan tawaran harga mampu milik, cukup untuk menjelaskan mengapa BAuto memilih untuk menawarkan model CX-60 dengan hanya satu pilihan enjin ini.

Mazda CX-60 2.5G 2WD High: Berbaloi Atau Tidak Untuk Dimiliki?

image is not available

Dengan harga bermula dari RM198,900, Mazda CX-60 2.5G 2WD High memberi saingan hebat dalam segmen SUV premium bersaiz sederhana yang lain. Tampil dengan reka bentuk elegan, teknologi terkini dan dinamik pengendalian yang baik, ditambah lagi dengan sokongan waranti selama lima tahun dan servis percuma selama lima tahun, SUV ini tidak patut dipandang sebelah mata.

image is not available