
PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing memastikan slot suku akhir menjadi milik mereka selepas mengejutkan pasangan No. 9 dunia, Cheng Xing-Zhang Chi pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Badminton China Masters di Guangdong, China, hari ini.
Pang Ron-Pei Jing yang hanya beberapa bulan bergandingan bersama mempamerkan persembahan cemerlang untuk mengetepikan wakil tuan rumah 24-22, 21-19 dalam masa 48 minit.
Kejayaan yang dilakar beregu ke-85 dunia itu membolehkan mereka mengikat Cheng Xing-Zhang Chi dengan rekod pertemuan 1-1.
Pada suku akhir, esok, Pang Ron-Pei Jing akan menghitung pertemuan dengan beregu No. 48 dunia, Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui dari Taiwan.
Turut mengikut jejak langkah Pang Ron-Pei Jing adalah rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang menyingkirkan beregu No. 21 dunia, Akira Koga-Natsu Saito dari Jepun 21-14, 19-21, 21-10 dalam masa 58 minit.
Pasangan suami isteri yang berada di ranking No. 11 dunia itu akan beraksi menentang wakil tuan rumah sama ada beregu No. 4 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin atau gandingan ke-29 dunia, Gao Jian Xuan-Wu Meng Ying di pusingan seterusnya.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami dua beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah dan Noraqilah Maisarah Ramdan-Low Zi Yu apabila mereka akur kepada pencabar masing-masing.
Namun, di antara dua kekalahan wakil negara itu, paling mengecewakan aksi hambar beregu No. 5 dunia, Pearly-Thinaah yang tewas di tangan gandingan Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 16-21, 21-17, 19-21 dalam masa 1 jam 7 minit.
Sejak pulih daripada kecederaan yang dialami Pearly, beregu wanita No. 1 negara itu masih belum mampu keluar daripada kemerosotan prestasi.
Dalam pada itu, Noraqilah-Zi Yu pula tumpas kepada pasangan No. 4 dunia, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 13-21, 16-21 dalam masa 39 minit. – UTUSAN
The post Pang Ron-Pei Jing, Soon Huat-Shevon tempah slot suku akhir appeared first on Utusan Malaysia.

