Pansar raih kontrak bina Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak bernilai RM129.99 juta

Business & Finance
14 Feb 2024 • 5:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pansar raih kontrak bina Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak bernilai RM129.99 juta

herman

14/02/2024 - 17:39

KUALA LUMPUR 14 Feb - Pansar Berhad menerusi anak syarikatnya, Perbena Emas Sdn Bhd berjaya meraih projek membina Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) bernilai RM129.99 juta.

Perbena Emas menerima dan menandatangani surat anugerah (LOA) daripada Borneo Development Corporation (Sarawak) Sdn Bhd (BDC) untuk tender membina SIDC yang terletak di Lot 17356, Blok 26, Sungai Jernang, Samarahan.

Kontrak berkenaan melibatkan kerja-kerja pembinaan dan menyiapkan SIDC dalam tempoh 30 bulan.

"Kami akan mula melaksanakan projek ini sebaik sahaja dimaklumkan oleh BDC," kata Pansar Berhad dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut syarikat itu, kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan dalam tempoh kontrak itu berjalan.

"Tiada pengarah dan/atau pemegang saham utama Pansar atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan," jelasnya.

Rancangan pembinaan SIDC yang baharu di Kota Samarahan telah diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada pertengahan 2021.

Menurut beliau, SIDC merupakan pusat penyelidikan yang penting di Malaysia dan akan dibina berdekatan dengan Pusat Jantung Sarawak. - DagangNews.com