Pantau pembinaan Rumah SMJ di Penampang: Warisan

LocalPolitics
4 Oct 2026 • 1:22 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pantau pembinaan Rumah SMJ di Penampang: Warisan

PENAMPANG: Parti Warisan (Warisan) Penampang menggesa Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan menjalankan pemantauan berkala terhadap pembinaan Rumah SMJ (Sabah Maju Jaya) di daerah ini bagi memastikan kontraktor mematuhi peraturan dan spesifikasi ditetapkan.

Timbalan Ketua Bahagian Warisan Penampang Christopher Masudal berkata langkah itu penting bagi mengelak penduduk berdepan risiko tanah runtuh, aliran lumpur atau banjir selepas rumah SMJ mereka siap dibina.

“Beberapa penduduk menghubungi saya berhubung sebuah Rumah SMJ yang baru siap dibina milik Jeremy Juanis di Kampung Pinousuk-Putaton, Penampang, yang mengalami kerosakan akibat tanah runtuh.

“Saya sudah mengunjungi rumah itu dan terkejut melihat keseluruhan dinding sebuah bilik runtuh akibat tanah runtuh.

“Saya berpendapat kekukuhan struktur rumah itu kini menimbulkan persoalan dan mungkin tidak lagi selamat untuk diduduki sementara menunggu pemeriksaan teknikal sewajarnya,” katanya dalam kenyataan Khamis lalu, selepas mengunjungi rumah berkenaan bersama Setiausaha Bahagian, Michael Tann Jr.

Menurut Christopher, kejadian itu bukan berpunca daripada pemilik rumah dan kerja pembersihan atau pembaikan tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya Kerajaan tidak menstabilkan cerun di belakang rumah berkenaan.

Katanya, tanpa tindakan itu, tanah dan lumpur akan terus mengalir masuk ke dalam rumah setiap kali hujan.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada kontraktor yang bertanggungjawab membina rumah itu telah mematuhi spesifikasi atau garis panduan sewajarnya bagi pembinaan rumah di kawasan cerun atau berbukit,” katanya.

Beliau berkata sebahagian besar pemohon rumah SMJ di kawasan berbukit terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu menanggung kos membina struktur perlindungan cerun seperti gabion atau tembok penahan. Katanya, kekangan kewangan itu antara sebab mereka memohon rumah SMJ pada asalnya.

“Rumah SMJ tidak seharusnya menjadi sekadar soal mengejar angka. Kerajaan mesti memastikan setiap rumah selamat, dibina di lokasi yang sesuai serta dilengkapi perlindungan asas cerun dan sistem perparitan yang diperlukan,” katanya.

Masudal turut berharap Kerajaan mengambil tindakan segera bukan sahaja untuk membaiki rumah berkenaan dan menstabilkan cerun, tetapi juga membaiki jalan yang rosak menuju ke rumah-rumah SMJ yang dibina di kawasan bukit.

“Saya dimaklumkan perkara ini telah dibawa kepada perhatian pemimpin masyarakat berkaitan di kawasan tersebut kira-kira lima bulan lalu.

“Oleh itu, memandangkan keadaan hujan yang kerap berlaku ketika ini, saya berharap Kerajaan menjalankan pemeriksaan segera serta membaiki rumah yang terjejas dan mengambil tindakan bagi menstabilkan cerun.

“Selain itu, kerja membersihkan sistem perparitan dan membaiki jalan yang rosak juga perlu dilakukan. Pihak berkuasa juga diharap membuat semakan terhadap semua rumah SMJ yang dibina di kawasan berbukit atau tanah yang berisiko mengalami hakisan di seluruh Penampang,” katanya.

Inisiatif SMJ Rumah Mesra 2026 merupakan program Kerajaan Negeri Sabah bagi membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, memiliki kediaman yang selesa dan mampu milik.

Program itu bertujuan menyediakan rumah percuma kepada mereka yang layak, terutama mangsa bencana alam, golongan miskin tegar dan mereka yang tidak mempunyai rumah sendiri.

Sebanyak 1,500 unit rumah bernilai RM70,000 setiap satu akan dibina di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan masalah perumahan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved