
NIAT asal hanya mahu mendaftarkan si bongsu, namun rezeki menyebelahi kedua-duanya sekali apabila pelakon sado, Norman Hakim berkongsi perancangan pendidikan dua anak perempuannya, Marissa Dania dan Maria Danisha.
Berita gembira itu mengundang tumpuan peminat selepas Norman memuat naik hantaran di Instagram yang memaparkan momen mereka berada di sebuah universiti untuk urusan pendaftaran.
Menurut bapa kepada enam cahaya mata itu, perancangan awal mereka sebenarnya hanyalah untuk Maria Danisha, namun cadangan daripada pihak universiti mengubah segalanya.
"Perancangan asal adalah janji temu pendaftaran untuk Danisha. Tapi pihak universiti cadangkan satu laluan pendidikan bersama buat Danisha dan kakaknya, Marissa, bermula dari program Diploma hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
"Ia dibuat selepas melihat keputusan SPM Marissa sebelum ini pun memberangsangkan dan penerimaannya sangat positif, maka perancangan asal terus berubah," katanya yang menyifatkan aturan ALLAH SWT itu adalah yang terbaik buat hamba-NYA.
Difahamkan, kedua-dua adik-beradik ini akan mengambil jurusan yang sama iaitu Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan.
Bagaimanapun, mereka bakal memilih pengkhususan yang berbeza mengikut minat masing-masing apabila melangkah ke peringkat Ijazah Sarjana Muda nanti.
"Kedua-duanya akan mengambil jurusan yang sama. Hanya pada peringkat Bachelor akan lebih khusus pada Perakaunan buat Danisha dan Sumber Manusia buat Marissa, insya-ALLAH," kongsi Norman lagi yang nampak cukup teliti merancang masa depan anak-anaknya.

Hala tuju pendidikan
Bukan itu sahaja, pelakon Gerak Khas itu turut meluahkan rasa syukur kepada pihak pengurusan universiti yang banyak membantu memberi penerangan jelas mengenai hala tuju pendidikan anak-anaknya itu.
Katanya, perancangan jangka panjang tersebut disusun rapi dengan data dan fakta yang sangat jelas demi memastikan mereka mendapat pendidikan yang terbaik.
Malah, Danisha dikatakan antara yang paling teruja kerana bilik kediaman kampus yang bakal didiami bersama kakaknya nanti sangat cantik.
Walau bagaimanapun, pihak universiti tetap memberikan sedikit fleksibiliti kepada Marissa untuk berulang-alik memandangkan komitmennya dalam menguruskan label perniagaan sendiri.
Sesi pengajian mereka dijangka akan bermula sekitar suku ketiga tahun ini, iaitu antara bulan Julai hingga September nanti.
Sebagai bapa, Norman sedar tanggungjawabnya semakin besar dan perlu bekerja lebih keras demi menampung kos pengajian yang tinggi.
"Alhamdulillah syukur nikmat, segala perancangan yang baik datang hanya dari-NYA. Papa kena kerja lebih bijak dan efisien lagi lepas ni sebab tengok kos pembelajaran hingga ke peringkat Bachelor ni pun bukan kaleng-kaleng.
"Insya-ALLAH akan ada rezeki anak-anak ini buat papa. Bismillahi tawakkaltu alallah," ujarnya dengan penuh harapan agar perjalanan kampus kedua-dua puterinya itu dipermudahkan segala urusan.
