Paparan MiniLED Cooler Master Tempest GP Akan Tiba Pertengahan Bulan Ini Dengan Harga Bermula RM2699

TechnologyDigital
9 Oct 2023 • 4:18 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Cooler Master, sebuah jenama aksesori dan perkakasan yang cukup terkenal baru-baru ini telah mengesahkan bahawa mereka akan membawa masuk dua buah paparan skrin kelas premium mereka ke pasaran tempatan, iaitu Cooler Master Tempest GP27Q dan Tempest GP27U.

image is not available

Kelebihan kedua-dua paparan skrin ini ialah ia menggunakan panel QuantumDot MiniLED dengan 576 zon malap yang menjanjikan olahan warna dan juga sudut pandangan yang terbaik. Kedua-dua paparan ini hadir dengan paparan bersaiz 27 inci dengan resolusi berbeza. Model GP27Q hadir dengan resolusi 4K 3840×2160 dengan kadar segar semula 160Hz, manakala model GP27U hadir dengan resolusi WQHD 2560×1440 dan kadar segar semula 165Hz.

Dari segi nilai kecerahan, kedua-dua paparan ini juga mempunyai nilai kecerahan maksima 1200nit dan dan menyokong teknologi paparan DisplayHDR 1000. Dari segi olahan warna, kedua-dua paparan ini juga mampu mengolah 99 peratus gamut warna Adobe RGB dan 98 peratus gamut warna DCI-P3.

image is not available

Ia juga hadir dengan sokongan AdaptiveSync dan menyokong kedua-dua teknologi AMD FreeSync dan NVIDIA G-SYNC dengan kadar segar semula sehingga 144Hz.

image is not available

Dalam pada itu, kedua-dua paparan skrin ini juga hadir dengan sambungan USB Type-C dengan kemampuan pengecasan PowerDelivery 90W dan boleh disambungan kepada paparan ini menggunakan satu kabel sahaja.

Cooler Master Malaysia mengatakan bahawa kedua-dua paparan ini akan memasuki pasaran tempatan pada pertenghanan bulan Oktober ini, dan akan dijual pada harga berikut di kedai-kedai pengedar Cooler Master tempatan.

  • Cooler Master Tempest G27U – RM4199
  • Cooler Master Tempest G27Q – RM2699