Paralimpik Paris 2024: Tidak Sedar Telefon Di Dalam Bot, Atlet Kayak Terlepas Pingat Gangsa

2 Sep 2024 • 4:24 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Atlet kayak Itali, Giacomo Perini terpaksa melepaskan pingat gangsa yang diraihnya di Sukan Paralimpik 2024 setelah penganjur mendapati terdapat telefon bimbit di dalam bot yang digunakannya semasa perlumbaan.

image is not available

Foto: World Rowing

Menurut laporan Reuters, atlet berkenaan menafikan penggunaan telefon untuk sebarang komunikasi malah mengakui perkara tersebut berlaku atas kecuaiannya.

Perini menamatkan perlumbaan akhir perseorangan lelaki PR1, kategori yang hanya menggunakan tangan dan bahu untuk mendayung namun kegembiraannya tidak bertahan lama apabila pihak penganjur mengumumkan pembatalan tersebut.

“Dalam final perseorangan lelaki PR1, atlet Itali didapati menggunakan peralatan komunikasi semasa perlumbaan, yang melanggar peraturan 28 dan Lampiran R2, Bye-Law peraturan 28,” kata kenyataan World Rowing pada Ahad.

image is not available

Foto: Reuters

Atlet yang berusia 28 tahun itu berkata, dia meninggalkan telefonnya beserta botol air di dalam beg kecil selain menolak kenyataan yang mengatakan dirinya telah melanggar peraturan perlumbaan.

“Saya memberikan telefon berkenaan kepada juri supaya mereka dapat melihat bahawa panggilan terakhir adalah dari malam sebelumnya.

“Peraturan tidak mengatakan bahawa anda tidak boleh membawa telefon, tetapi anda tidak boleh berkomunikasi.” katanya.

Kenyataan peraturan ‘tiada komunikasi dengan kru dibenarkan dari luar bot menggunakan barang elektrik dan elektronik’ dipersoalkan.

The Italian Rowing Federation memfailkan rayuan yang ditolak dan bersedia untuk merayu keputusan kepada World Rowing Executive Board.

Susulan keputusan pembatalan itu, Erik Horrie dari Australia diangkat dari tempat keempat dan meraih pingat gangsa, manakala Atlet Britain, Benjamin Pritchard memenangi emas dan Roman Polianskyi dari Ukraine pula meraih perak.

Sumber: Reuters