johardy02/11/2026 - 17:15 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov - Paramount Corporation Berhad memuktamadkan harga RM17.28 juta bagi penjualan baki 30% kepentingan sahamnya dalam University of Wollongong Malaysia dan UOW Malaysia KDU Penang University College kepada UOWM Sdn Bhd.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, harga berkenaan dipersetujui menerusi surat tambahan kepada perjanjian jual beli saham (SPA) asal yang ditandatangani pada 19 November 2018.
Paramount berkata, harga RM17.283 juta itu adalah muktamad dan menggantikan formula penentuan harga berdasarkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang ditetapkan dalam perjanjian terdahulu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.645 juta melibatkan penjualan 5.7 juta saham atau 30% kepentingan dalam University of Wollongong Malaysia Sdn Bhd, manakala RM10.638 juta membabitkan enam juta saham atau 30% kepentingan dalam UOW Malaysia KDU Penang University College Sdn Bhd.
Pindaan perjanjian itu turut mengambil kira perubahan jumlah saham dalam institusi pendidikan di Pulau Pinang susulan penambahan modal saham bagi memenuhi keperluan permohonan menaik taraf statusnya kepada universiti.
Kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi
Menurut Paramount, Kementerian Pendidikan Tinggi telah meluluskan pemindahan baki 30% kepentingan saham dalam University of Wollongong Malaysia kepada pembeli menerusi surat bertarikh 26 Februari 2026.
Bagaimanapun, pemindahan baki 30% saham dalam UOW Malaysia KDU Penang University College masih menunggu kelulusan kementerian berkenaan, dengan kedua-dua transaksi dibenarkan disempurnakan secara berasingan mengikut syarat perjanjian.
Bagi University of Wollongong Malaysia, dokumen pemindahan 5.7 juta saham akan dilepaskan kepada pembeli setelah bayaran RM6.645 juta didepositkan ke dalam akaun pihak pemegang amanah transaksi, yang kemudiannya akan menyerahkan bayaran itu kepada Paramount.
Sementara itu, bagi institusi di Pulau Pinang, pembeli perlu mendepositkan bayaran RM10.638 juta dalam tempoh lima hari bekerja selepas menerima kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum dokumen pemindahan saham dan bayaran dilepaskan kepada pihak masing-masing.
Perjanjian asal dimeterai pada 2018
Urus niaga itu merupakan sebahagian daripada cadangan pelupusan kepentingan penguasaan Paramount dalam tiga institusi pendidikan KDU dengan jumlah nilai penjualan asal RM38.5 juta, seperti diumumkan pada November 2018.
Paramount memaklumkan bahawa pemindahan saham awal sebanyak 5% dalam kedua-dua institusi pendidikan berkenaan kepada pembeli telah disempurnakan.
Manakala UOW Malaysia KDU Penang University College telah memohon untuk dinaik taraf kepada status universiti yang memerlukan peningkatan modal saham diterbitkan sebanyak RM5 juta kepada RM20,003,300.
Bagi memenuhi keperluan itu, UOWM Sdn Bhd telah melanggan saham tambahan bernilai RM3.5 juta, manakala Paramount menyumbang RM1.5 juta mengikut pegangan saham masing-masing. - DagangNews.com



