johardy09/10/2026 - 09:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt - GDB Holdings Berhad merancang mengambil alih 51% kepentingan masing-masing dalam dua syarikat pembinaan dengan jumlah bayaran RM81.6 juta, sekaligus membolehkannya menceburi pembangunan hartanah bagi mempelbagaikan sumber keuntungan kumpulan.
Menurut makluman GDB kepada Bursa Malaysia, dua syarikat berkenaan ialah Bina Tegas Sdn Bhd dan BT Borneo Engineering Sdn Bhd.
Perniagaan utama GDB ialah menyediakan perkhidmatan pembinaan sebagai kontraktor utama bagi projek kediaman bertingkat tinggi, komersial dan pembangunan bercampur. Cadangan pembangunan hartanah itu akan memperluas peranannya kepada mengusahakan projek sendiri.
Bayaran pengambilalihan terdiri daripada RM40.8 juta secara tunai dan baki RM40.8 juta melalui penerbitan 96.91 juta saham baharu GDB pada harga 42.1 sen sesaham.
Selepas pengambilalihan selesai, baki nilai kontrak pembinaan dalam tangan kumpulan dijangka meningkat kira-kira 56% kepada RM741.81 juta berbanding RM476.13 juta setakat akhir Jun 2026.
GDB berkata, penggabungan sumber, kepakaran dan hubungan perniagaannya dengan kedua-dua syarikat berkenaan akan mengukuhkan kedudukannya dalam industri pembinaan.
Secara berasingan, kumpulan itu mencadangkan peluasan perniagaan ke pembangunan hartanah melalui anak syarikatnya, GDB Development Sdn Bhd.
Projek hartanah RM500 juta di Kuching
GDB merancang pembangunan bercampur di Kuching, Sarawak, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM500 juta, merangkumi pangsapuri perkhidmatan, unit pejabat kecil/pejabat di rumah (SOHO) dan ruang perniagaan runcit.
Kumpulan itu telah memperoleh tanah seluas 6,961 meter persegi di Kuching dan mengenal pasti tanah tambahan berpotensi seluas kira-kira 4,754 meter persegi bagi pembangunan yang dicadangkan.
Perniagaan pembangunan hartanah dijangka menyumbang sekurang-kurangnya 25% kepada keuntungan bersih dan aset bersih kumpulan susulan cadangan peluasan tersebut.
Bagi membiayai pengembangannya, GDB mencadangkan penempatan persendirian sehingga 309.38 juta saham baharu, mewakili sehingga 30% daripada jumlah saham terbitannya, kepada pelabur pihak ketiga bebas yang akan dikenal pasti kemudian.
Harga terbitan indikatif sebanyak 37.4 sen sesaham mewakili diskaun 11.16% berbanding harga pasaran purata berwajaran volum lima hari sebanyak 42.1 sen sesaham.
GDB turut mencadangkan terbitan hak sehingga 205.36 juta saham baharu berserta sehingga 205.36 juta waran boleh tanggal percuma, atas dasar satu saham hak bagi setiap tujuh saham sedia ada yang dipegang, dengan satu waran percuma bagi setiap saham hak yang dilanggan.
Pengumpulan dana bagi menyokong pengembangan
Harga terbitan hak indikatif sebanyak 33 sen sesaham mewakili diskaun 21.62% berbanding harga pasaran purata berwajaran volum lima hari yang sama.
Secara keseluruhan, penempatan persendirian dan terbitan hak itu dijangka menjana hasil kasar RM70.83 juta dalam senario minimum dan sehingga RM183.48 juta dalam senario maksimum.
Dana tersebut akan digunakan untuk membiayai bahagian tunai pengambilalihan, modal kerja bagi perniagaan pembinaan sedia ada dan pembangunan hartanah, serta perbelanjaan berkaitan cadangan berkenaan.
Penjual kepentingan dalam Bina Tegas ialah Leong Chee Kit, Low Lip Kai dan Tham Wai Leong, manakala penjual kepentingan dalam BT Borneo terdiri daripada tiga individu yang sama serta Lim Khoon Sin.
GDB menjangkakan semua cadangan tersebut diselesaikan pada suku pertama 2027. M&A Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat utama. — DagangNews.com






