Paras air Empangan Pedu ditingkatkan hadapi El Nino

LocalEnvironment
28 Nov 2026 • 11:58 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Pertanian El-Nino

KUCHING: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang meningkatkan paras takungan air di Empangan Pedu, Kedah bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk pengairan sawah sekiranya fenomena El Nino melanda dari penghujung Disember ini hingga April tahun depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu penting bagi memastikan aktiviti penanaman padi, khususnya di kawasan utara Semenanjung tidak terjejas akibat kekurangan bekalan air.

Beliau berkata berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas dijangka melanda beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Ketika ini, paras air di Empangan Pedu berada pada tahap yang baik, namun kami mahu meningkatkan lagi takungan supaya bekalan air mencukupi untuk pengairan sawah, sekiranya tiada hujan dari Disember hingga April.

“Sebab itu, dua hari lepas saya berada di Empangan Pedu untuk memastikan usaha meningkatkan takungan air dapat dilaksanakan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Program Jualan Agro MADANI Mega @ Medan Niaga Satok 2026 di sini hari ini.

Selain itu, Mohamad berkata, pematuhan jadual penanaman padi penting bagi mengelakkan kekurangan bekalan air ketika tanaman sedang membesar, khususnya jika berlaku tempoh cuaca kering yang berpanjangan.

“Kami juga berharap semua pihak, termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda memastikan jadual penanaman padi dipatuhi. Jika penanaman tidak mengikut jadual, kami bimbang berlaku kekurangan air ketika tanaman padi sedang membesar,” katanya.

Mohamad ketika mengulas persediaan menghadapi musim tengkujuh berkata agensi berkaitan, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Pendidikan sentiasa bersiap siaga mendepani kemungkinan banjir.

Beliau bagaimanapun berkata fenomena El Nino memerlukan pendekatan berbeza memandangkan kesannya masih sukar dijangka, selain kejadian banjir kilat yang semakin serius sejak kebelakangan ini.

“Hujan di Malaysia bukanlah sesuatu yang luar biasa… musim tengkujuh pula sudah menjadi perkara biasa yang kita hadapi setiap tahun tetapi fenomena El Nino adalah keadaan yang agak baharu dan memerlukan persediaan yang berbeza kerana kesannya masih sukar dijangka.

“Insya-Allah, kerajaan sentiasa bersedia menghadapi musim tengkujuh berdasarkan pengalaman lepas. Namun, fenomena El Nino memerlukan pendekatan dan langkah persediaan yang sedikit berbeza,” katanya. – BERNAMA

The post Paras air Empangan Pedu ditingkatkan hadapi El Nino appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved