Parc Central Residences bakal kukuhkan pendapatan suku ketiga Sunway, RHB IB kekalkan saranan 'Beli'

LocalBusiness & Finance
29 Aug 2024 • 9:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Parc Central Residences bakal kukuhkan pendapatan suku ketiga Sunway, RHB IB kekalkan saranan 'Beli'

herman

29/08/2024 - 09:33

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Sunway Berhad dijangka merekodkan perolehan yang lebih mantap pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3Q24) didorong selesainya pembinaan projek Parc Central Residences di Singapura pada bulan Julai 2024, kata RHB Investment Bank.

Menurut firma penyelidikan itu, penyerahan Parc Central Residences akan melibatkan pengiktirafan pada kenaikan untung secara berperingkat sebanyak RM123 juta.

Katanya, jualan baharu untuk separuh pertama FY24 (1HFY24) berjumlah RM1.27 bilion juga meletakkannya di landasan baik untuk mencapai sasaran jualan FY24 iaitu RM2.6 bilion.

"Saranan 'Beli' dikekalkan dengan harga sasaran (TP) RM5.00 sesaham, potensi kenaikan harga saham 28% dan kadar hasil dividen sekitar 1% untuk FY24. Keputusan 2Q24 yang dicatatkan oleh Sunway dilihat menepati jangkaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

RHB Investment juga menyarankan para pelabur untuk terus mengumpul saham kerana kumpulan ini mempunyai pendedahan strategik di Iskandar Malaysia dan juga kerana Sunway Healthcare Group bakal disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Jumlah jualan belum dibil dan buku pesanan pembinaan belum bayar Sunway mencecah RM4.5 bilion dan RM7.4 bilion, daripada RM4.2 bilion dan RM6.3 bilion pada 1Q24," jelasnya.

Sunway dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia semalam mengumumkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya kepada RM270.42 juta bagi 2QFY24 daripada RM149.93 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Pendapatan kumpulan itu turut meningkat 11.3% kepada RM1.58 bilion pada 2QFY24 daripada RM1.47 bilion sebelumnya disumbangkan oleh kebanyakan segmen perniagaan kecuali segmen pelaburan hartanah.

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan hasil Sunway pada 2QFY24 berbanding setahun sebelumnya dipacu oleh segmen pembangunan hartanah yang dikaitkan dengan jumlah jualan dan bil peringkat siap lebih tinggi daripada projek-projek hartanah tempatan yang sedang berjalan.

Kata RHB Investment, segmen penjagaan kesihatan juga melaporkan pertumbuhan hasil lebih tinggi sebanyak 13.5% QoQ, manakala margin perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) untuk unit ini juga meningkat kepada 17% daripada 14% pada suku lalu.

"Punca utama untuk prestasi ini ialah sumbangan hasil lebih tinggi yang diterima daripada tiga hospital sedia ada, dengan kadar penggunaan katil lebih tinggi di Sunway Medical Centre (SMC) Kuala Lumpur dan SMC Velocity, selain nilai hasil lebih tinggi bagi setiap hari seorang pesakit menggunakan sebuah katil di semua hospital," ujarnya. - DagangNews.com