
MENGHIMPUNKAN pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita terbaik dunia, MLBB Women’s Invitational (MWI) 2026 sekali lagi menjadi pentas buat pemain menguji kemampuan, strategi dan ketahanan mental dalam memburu gelaran paling berprestij arena e-sukan wanita.
Buat wakil negara, Team Rey Young, kejohanan di Paris, Perancis itu bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya peluang membuktikan Malaysia mampu bersaing dengan kuasa besar dunia dalam arena MLBB wanita.
Meskipun memulakan kempen dengan aksi meyakinkan pada peringkat kumpulan, perjalanan Team Rey Young akhirnya terhenti di suku akhir apabila tewas 0-2 kepada NAVI PH, sekali gus menamatkan cabaran Malaysia di bumi Perancis.
MWI 2026 menghimpunkan 16 pasukan terbaik dari seluruh dunia yang mewakili pelbagai rantau termasuk Asia Tenggara, Asia Barat, Eropah, Amerika Latin dan Mongolia.
Kejohanan berprestij itu menawarkan hadiah keseluruhan AS$500,000 (RM2.1 juta) sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pertandingan e-sukan wanita paling berprestij di dunia.
Sepanjang kempen di Paris, Team Rey Young membuktikan mereka bukan sekadar pelengkap saingan apabila mempamerkan aksi cemerlang pada peringkat kumpulan sebelum melangkah ke suku akhir.
Wakil negara itu membuka saingan dengan kemenangan 2-0 ke atas Aurora Storm sebelum menewaskan SAETA Esports 2-0 untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.
Bagaimanapun, mereka gagal meneruskan kemaraan selepas tunduk 0-2 kepada NAVI PH yang kemudian mara ke pentas final.
Pasukan itu dibarisi Chloe Chong Mei Kei (Qiiboyyy) selaku kapten dan Roamer, Nora Umairah Mohammed Ramazan atau Noraa di posisi EXP Laner, Tann (Jungler), Mikuu (Mid Laner), Queenie Lim Mae Shen atau Qu1nn (Gold Laner) serta Nur Nabila Mohd. Ibrahim (Annabelle) yang turut beraksi sebagai Roamer. Mereka dibimbing ketua jurulatih, Divaan Nagaraju (Frost) bersama penolong jurulatih, Ahmad (Mocha).
Bagaimanapun, cabaran menjadi semakin sukar apabila mereka berdepan NAVI PH pada aksi suku akhir sebelum impian untuk mara ke separuh akhir akhirnya tidak kesampaian.
Di sebalik kekecewaan itu, Frost tampil mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan pasukannya dan enggan menyalahkan pemain.

“Saya rasa kita masih perlu belajar dan bekerja lebih keras. Paling penting, saya ingin memohon maaf atas kegagalan ini dan kepada semua yang menyokong kami.
“Kami sepatutnya boleh melakukannya, tetapi kami tidak berjaya,” katanya.
Menurut Frost, pasukannya masih mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki, terutama dari segi membuat keputusan ketika berdepan tekanan pada perlawanan penting.
Dia mengakui Team Rey Young mungkin melakukan kesilapan apabila memilih pendekatan yang terlalu selesa berbanding strategi yang lebih berani ketika berdepan lawan.
Malah, Frost turut menegaskan pemain tidak seharusnya dipersalahkan atas kekalahan tersebut kerana segala keputusan sepanjang perlawanan dibuat oleh barisan kejurulatihan.
“Mungkin kami seharusnya memilih untuk mengambil risiko yang lebih berani tetapi kami memilih strategi yang lebih selesa. Mungkin itulah sebabnya.
“Oleh itu, saya harap tiada yang akan salahkan pemain kerana semua kesilapan adalah di bawah tanggungjawab saya,” katanya.
Walaupun gagal mencapai sasaran lebih tinggi, Frost tetap berbangga dengan perkembangan dipamerkan anak buahnya sepanjang kejohanan.
Menurutnya, pengalaman bersaing dengan pasukan terbaik dunia menjadi platform penting untuk mematangkan corak permainan dan membina keyakinan pemain menghadapi cabaran lebih besar pada masa depan.
“Akhir sekali, saya perlu beri penghargaan kepada para pemain saya kerana mereka menonjolkan peningkatan permainan yang baik dan membanggakan.
“Pasukan kami tewas kepada gergasi Filipina, NAVI PH, jadi ia bukan sesuatu kekalahan tanpa usaha yang kuat,” ujarnya.
Sementara itu, Team Vitality muncul juara MWI 2026 selepas menewaskan NAVI PH 4-2 pada perlawanan akhir sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.
NAVI PH yang menyingkirkan Team Rey Young pada aksi suku akhir pula menamatkan saingan sebagai naib juara.
Di sebalik kekecewaan itu, Team Rey Young tetap menerima sokongan padu daripada penyokong di media sosial yang memuji semangat juang pasukan sepanjang kejohanan.
Seorang pengguna Facebook, Muhammad Aifan Aifan berkata, Team Rey Young telah memberikan persembahan terbaik di pentas Esports World Cup (EWC) dan berharap mereka dapat bangkit dengan lebih kuat pada kejohanan akan datang.
“Tidak mengapa Team Rey Young. Anda semua sudah memberikan yang terbaik di EWC. Bangkit dengan lebih kuat selepas ini. Kami sentiasa berbangga dengan perjalanan anda,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Dewi Mukhtar, turut menitipkan kata-kata semangat kepada pasukan negara.
“Tidak mengapa. Team Rey Young sudah memberikan yang terbaik. Jangan bersedih hati kerana kami semua bangga dengan anda. Percayalah, akan ada kemanisannya suatu hari nanti,” katanya.
The post Paris jadi pentas pembelajaran Team Rey Young appeared first on Kosmo Digital.

