
TAWAU: Beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan kira-kira tiga jam bermula sekitar jam 2 petang, pada Rabu.
Antara kawasan terlibat ialah Batu 2 Jalan Apas, Batu 4 Jalan Apas, Kongsi 8, Taman Semarak dan taman-taman perumahan di kawasan Jalan Sin Onn.
Air dari parit besar di Sin Onn melimpah ke jalan raya menyebatkan banjir di kawasan-kawasan berhampiran.
Sebuah kenderaan terbabas ke dalam parit di kawasan Sin Onn.
Dalam insiden itu, seorang wanita dan kanak-kanak berjaya diselamatkan oleh orang ramai ketika kenderaan terbabit hampir tenggelam.
Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menerima sekurang-kurangnya dua panggilan kecemasan akibat bencana banjir sekitar jam 4.45 petang dan 4.57 petang, masing-masing di Taman Capital dan bulatan Fuji Mart iaitu dalam kawasan Jalan Sin Onn.
Ketua BBP Tawau, Julius John Stephen Jr, bagaimanapun berkata tiada operasi pemindahan mangsa banjir dijalankan setakat ini.
“Pasukan kita membuat pemantauan di kawasan dinaiki air dan banjir kilat ini berpunca daripada saluran parit tersumbat sehingga mengakibatkan air melimpah ke atas jalan raya,” katanya.
Menurutnya, kenderaan masih boleh melalui kawasan-kawasan terlibat dan paras air dilihat mula surut menjelang petang.
Katanya, dua pasukan yang dikerah melakukan pemantauan menamatkan operasi pada jam 5.20 dan 5.49 petang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

