
PEMILIK kenderaan yang meninggalkan kenderaan tidak digunakan di kawasan awam sekitar daerah Penampang berdepan denda sehingga RM20,000 jika didapati bersalah di mahkamah.
Jurucakap Majlis Daerah Penampang berkata hukuman maksimum itu boleh dikenakan mengikut Undang-Undang Kecil Seragam (Anti-Pembuangan Sampah) 2010.
“Sebagai alternatif, majistret boleh menjatuhkan hukuman penjara sehingga setahun terhadap pesalah.
“Dalam keadaan tertentu, pesalah boleh dikenakan kedua-dua hukuman iaitu denda dan penjara,” katanya.
Beliau berkata sejak awal tahun ini, seramai 183 individu telah diberikan arahan rasmi supaya mengalihkan kenderaan masing-masing ke kawasan tanah milik mereka.
Menurutnya notis ditampal pada kenderaan terbiar yang ditemukan di sekitar pusat komersial dan premis perniagaan, selain kenderaan yang ditinggalkan di jalan kawasan perumahan.
Katanya pegawai Unit Kawalan Trafik majlis itu menjalankan 24 pemeriksaan berasingan di sembilan kawasan komersial dan perumahan sekitar Penampang antara Januari hingga November tahun ini.
Dalam tempoh itu notis kenderaan terbiar dikeluarkan kepada pemilik kenderaan terbabit supaya mengalihkan kenderaan masing-masing.
“Sebanyak tujuh operasi berasingan telah dijalankan oleh kakitangan kami bagi tujuan itu,” ujarnya.
Antara kawasan komersial yang terlibat ialah Kawasan Perindustrian Ringan Koidupan, Pusat Perindustrian HSK dan Pusat Komersial New World, selain deretan kedai di Taman Suria, Cyber Square dan Kasigui 3.
Bagi kawasan perumahan pula pemeriksaan dijalankan di Apartmen Taman Suria, Taman Sri Kibabaig dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kibabaig.
“Rekod kami menunjukkan seramai 157 pemilik kenderaan mematuhi arahan yang dikeluarkan sepanjang tempoh 11 bulan lalu,” tambahnya.
Beliau berkata pemilik yang gagal mengalihkan kenderaan masing-masing berisiko dikenakan kompaun sehingga RM500 mengikut Undang-Undang Kecil Seragam (Anti-Pembuangan Sampah).
“Dalam keadaan tertentu kami boleh memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya.
Menurutnya pemilik perlu menjelaskan kompaun serta bayaran kos tunda dan penyimpanan sebelum kenderaan masing-masing boleh dituntut semula.
“Mereka diberikan tempoh 30 hari untuk berbuat demikian. Mana-mana kenderaan yang masih tidak dituntut selepas tempoh itu akan dilupuskan,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai kaedah pelupusan kenderaan berkenaan, jurucakap itu enggan mengulas lanjut.
Beliau berkata pihak majlis turut mendapatkan bantuan pihak polis bagi memastikan sama ada kenderaan yang ditinggalkan itu mempunyai kaitan dengan sebarang kegiatan jenayah.
Sejak awal 2026, sebanyak 26 kenderaan terbiar telah dialihkan oleh pasukan majlis berkenaan.
“Sebahagian besar kenderaan berkenaan dialihkan dari Taman Suria (lapan buah), diikuti lima buah masing-masing dari Pusat Perindustrian HSK dan deretan kedai di Cyber Square,” katanya.
Menurutnya dua kenderaan masing-masing ditunda dari deretan kedai di Kasigui 3 dan Taman Sri Kibabaig, manakala sebuah kenderaan masing-masing dialihkan dari Pusat Komersial New World, kawasan lapang di belakang premis McDonald’s di Jalan Bundusan, PPR Kibabaig dan Kawasan Perindustrian Ringan Koidupan.
“Kenderaan berkenaan disita dan ditempatkan di depoh milik majlis di kawasan Pavilion,” ujarnya.
Jurucakap itu berkata, pihak majlis memandang serius kewujudan kawasan pembuangan sampah haram yang membabitkan kenderaan tidak lagi digunakan di sekitar daerah ini.
“Selain mencacatkan pemandangan, kenderaan terbiar juga berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.
Tambahnya anggota penguat kuasa majlis akan terus memantau kenderaan yang ditinggalkan atau diletakkan secara tidak teratur di kawasan awam sekitar Penampang.
“Kami sedang mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan tertinggi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mendapatkan akses terus kepada pangkalan data jabatan itu.
“Langkah ini akan memudahkan usaha kami mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang ingkar,” katanya.



