amree18/11/2026 - 15:12 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov — Pemilik kenderaan elektrik (EV) Leapmotor di Perak mempunyai akses lebih dekat kepada kemudahan penyelenggaraan dan sokongan teknikal menerusi pembukaan pusat servis khusus di Ipoh, seiring jenama itu terus memperluas rangkaian selepas jualannya di Malaysia.
Pusat Servis Leapmotor Allure Auto Ipoh yang berkeluasan kira-kira 381 meter persegi itu dikendalikan sendiri oleh pengedar sah Allure Auto Sdn Bhd, dengan dilengkapi sebanyak tiga ruang servis serta seramai tujuh kakitangan perkhidmatan selepas jualan.
Menurut kenyataan Cycle & Carriage Malaysia, pembukaan fasiliti berkenaan merupakan sebahagian daripada hasil usahanya bersama-sama rakan pengedarnya untuk memperkukuh rangkaian pengedar sah dan perkhidmatan selepas jualan Leapmotor di negara ini.
Ketua Operasi Selepas Jualan Allure Auto, Hasrul Safarin Ishak berkata, pembukaan pusat servis baharu tersebut bertujuan memudahkan segala urusan pemilikan kenderaan Leapmotor bagi pelanggan di Ipoh dan kawasan sekitarnya bagi mendapatkan perkhidmatan.

"Segala pengalaman yang dibina menerusi operasi Allure Auto di Subang, Selangor menjadi asas kepada usaha kami menyediakan tahap penjagaan dan sokongan perkhidmatan serupa kepada para pelanggan di Perak pula," jelas beliau dalam kenyataan tersebut.
Pusat berkenaan tambahnya, turut menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk penyelenggaraan secara berjadual dan pencegahan awal, sokongan waranti, diagnostik kerosakan, rumusan masalah teknikal, pembaikan am serta sokongan alat ganti tulen jenama itu.
Ia turut menyediakan pemeriksaan dan penyelenggaraan khusus EV, selain perkhidmatan baik pulih badan kenderaan serta pengecatan.
Bagi menyokong keperluan teknikal kenderaan elektrik, pusat itu dilengkapi sistem diagnostik, peralatan diagnostik voltan tinggi, peralatan khusus pemeriksaan bateri serta kelengkapan penentukuran Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS).

Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage Malaysia, Adrian Short berkata, pengalaman pemilikan kenderaan tidak seharusnya terhenti selepas pembelian, sebaliknya perlu disokong dengan perkhidmatan selepas jualan yang menyeluruh dan mudah diakses.
"Sehubungan itu, langkah pembukaan pusat servis oleh Allure Auto mencerminkan komitmen rakan pengedar kami untuk terus mengembangkan jenama Leapmotor di Malaysia, selain mendekatkan sokongan khusus kepada pelanggan di sekitar Ipoh," kata beliau.
Pusat Servis Leapmotor Allure Auto Ipoh yang terletak di No. 42, Lintasan Perajurit 17H, Taman Ipoh, 31400 Ipoh, Perak, beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang, manakala Sabtu dari 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari.
Pelanggan menurut kenyataan tersebut boleh menghubungi talian 017-970 1301 untuk menetapkan janji temu servis mereka. - DagangNews.com



