PARLIMEN: Pasaran saham negara kekal stabil

LocalBusiness & Finance
8 Oct 2026 • 11:44 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PARLIMEN: Pasaran saham negara kekal stabil

KUALA LUMPUR: Pasaran saham Malaysia kekal stabil meskipun berdepan turun naik susulan perubahan geopolitik global.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keadaan itu mencerminkan keyakinan terhadap kestabilan ekonomi negara selain dasar kerajaan yang telus serta mesra pelaburan.

“Kalau kita lihat pasang surut pasaran, kadang-kadang saham naik dan kadang-kadang jatuh kerana banyak perkara berlaku di dunia.

“Sekarang kita berada dalam fasa di mana geopolitik dunia banyak berubah. Namun yang penting, kalau kita lihat pasaran saham di Malaysia, kita stabil. Ia tidak bergerak terlalu tinggi atau jatuh dengan mendadak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai dakwaan kecelaruan penguatkuasaan yang boleh membuka ruang kepada amalan menyerupai mafia korporat sehingga menakutkan komuniti perniagaan, khususnya pelabur asing sekali gus mencemarkan reputasi Malaysia.

Awang turut meminta penjelasan berhubung selain dakwaan kejatuhan nilai transaksi melebihi RM1 bilion di Bursa Malaysia pada minggu lalu.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kestabilan pasaran turut disokong dasar kerajaan yang memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih banyak dana dan pelaburan asing ke negara ini.

Malah katanya, Malaysia turut mencatat pencapaian positif dari segi pelaburan langsung asing (FDI), sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.

“Kestabilan itu juga menjamin kerana kerajaan mempunyai polisi yang telus dan polisi yang merancakkan kemasukan dana dari luar.

“Kita telah melihat Malaysia mendapat FDI yang tinggi daripada pelaburan yang datang ke negara ini. Saya rasa itulah antara pencapaian yang kita sudah dapat,” katanya.

Jelasnya, turun naik pasaran saham merupakan perkara biasa, namun perkara paling penting adalah memastikan asas ekonomi dan dana yang berada dalam negara terus kukuh. – UTUSAN

The post PARLIMEN: Pasaran saham negara kekal stabil appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved