
Kota Kinabalu: Parti baharu berpangkalan di Sabah, Parti Gemilang Anak Negeri Sabah (GAS) menafikan dakwaan mereka dibiayai pihak tertentu bagi memecah undi menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Presidennya, Dato’ Jismit Japong, berkata tuduhan itu tidak berasas dan hanya bertujuan menjejaskan kredibiliti parti sebagai sebuah gerakan politik yang sah.
Jismit, yang menjangkakan Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan pada 19 Sept ini, berkata GAS yang ditubuhkan tahun lalu komited dalam perjuangan menegakkan hak dan kepentingan rakyat Sabah.
Ia berharap menang besar dengan bertanding di 55 kerusi bagi mendapatkan mandat menggantikan Kerajaan Negeri sedia ada.
Beliau turut mempersoalkan mengapa isu sumber kewangan parti perlu menjadi persoalan.
“Kami mengutip dana sendiri dan sebahagian butir-butirnya akan diumumkan pada masa yang sesuai.
“Perkara penting bukan soal siapa penyumbang dana, tetapi sama ada calon-calon kami layak dan berkemampuan untuk bertanding dalam PRN17,” katanya.
Jismit berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi pertama parti itu pada Ahad, yang dihadiri 54 ahli daripada 22 bahagian daripada keseluruhan 25 bahagian.
Beliau mengakui terdapat pengkritik yang melabel GAS sebagai “parti nyamuk” serta menggunakan istilah menghina lain.
“Penubuhan GAS adalah amalan demokrasi yang sah dan tindak balas terhadap kegagalan kepimpinan semasa. Kami ingin menawarkan kepimpinan baharu, bukan ‘politik nyamuk’.
“Malah, penubuhan parti politik baharu tidak seharusnya dipersoalkan kerana demokrasi membenarkan sesiapa sahaja menubuhkan parti.
“Apa yang sering berlaku di Sabah, ada pihak mendaftarkan parti hanya untuk menjualnya kemudian. Itu bukan kepimpinan sebenar, dan kami (GAS) tidak berminat dengan perkara itu,” jelasnya.
Beliau berkata GAS akan dilancarkan secara rasmi di Beaufort pada 21 Sept ini dengan satu lagi majlis pelancaran dirancang di Pantai Timur pada tarikh yang akan ditentukan.
“Kami sudah ada 25 bahagian di seluruh Sabah,” katanya, menambah parti itu menerima 286 permohonan daripada individu yang berminat menjadi calon melalui sistem tender terbuka.
